KALAU ANAKNYA PUN TIDAK BERJAYA DIBENTUK JADI PEMIMPIN TERBAIK, APAKAH TUGAS MAHATHIR MENILAI KEDUDUKAN ANWAR?



Kenyataan Tun Mahathir Mohamad di Qatar semalam bahawa beliau tidak dapat menjamin penggantinya, Anwar Ibrahim mampu menjadi Perdana Menteri yang terbaik untuk masa akan datang, bukan saja mengelirukan, malah seperti bercampur sedikit niat jahat.

“Saya tidak dapat menjamin apa yang akan jadi, (atau) siapa orang terbaik untuk mengambil alih, kerana saya pernah mempunyai pengalaman buruk.

"(Pada masa lalu) saya telah menamakan pengganti saya dan kemudian mereka mengambil alih dan melakukan perkara yang berbeza," katanya yang merujuk kepada penyerahan jawatan Perdana Menteri yang pernah dilakukannya kepada Tun Abdullah Ahmad Badawo pada 2003 dahulu.

Dengan itu, kenyataan Tun Mahathir tersebut seolah-olah mahu mengajak rakyat berfikir semula mengenai kedudukan Anwar sebagai bakal penggantinya.

Dalam kedudukannya yang sudah terikat dengan janji serta konsensus menyerahkan jawatan kepada Anwar, Tun Mahathir sebenarnya tidak berhak lagi memberi gambaran yang negatif terhadap penggantinya itu.

Tugas dan tanggungjawab utama Tun Mahathir ketika ini bukanlah untuk menilai atau meramal kedudukan Anwar bila menjadi Perdana Menteri nanti sama ada mampu menjadi yang terbaik untuk negara atau sebaliknya.

Tetapi, tugas dan tanggungjawab yang lebih penting yang mesti dilakukannya adalah mematuhi perjanjian dan tidak cuba berbelit-belit ke arah memungkiri perjanjian yang sudah dipersetujui itu.

Lagi pula, kalau beliau ada keraguan mengenai Anwar, perkara itu patut diputuskannya sebelum PRU14 lagi, bukannya sekarang.

Mengapa sebelum PRU14 dulu Tun Mahathir tidak pernah ada keraguan mengenai kedudukan Anwar, malah meyakininya untuk menjadi Perdana Menteri selepasnya?

Lebih daripada itu, adalah membuang masa, tenaga dan fikiran saja bagi Tun Mahathir jika mahu terus memikirkan sama ada Anwar mampu menjadi peneraju negara yang terbaik atau tidak bagi negara ini.

Ini kerana, jika beliau sendiri tidak dapat membentuk dan menjadikan anaknya, Mukhriz sebagai pemimpin pelapis yang terbaik dalam Bersatu dan juga negara, apakah lebih mungkin kedudukan Anwar dapat ditentukannya?

Untuk kali yang seterusnya - cukup-cukuplah tu Tun dan ingat-ingatlah sikit tentang hari mati!!! (ShahbudinHusin 15/12/2019)