Kenyataan media oleh Menteri Kewangan, Lim
Guan Eng
Kerajaan menghargai jasa dan bakti penjawat awam Kerajaan Persekutuan yang menjalankan tugas demi rakyat dan negara. Seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2020, Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 akan dibuat kepada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan gred 56 dan ke bawah dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana. Bagi pesara pula, Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250 akan diberikan dan untuk tahun ini, seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2020, bantuan tersebut akan dipanjangkan juga kepada veteran dan pesara awam yang tidak menerima pencen.
Seperti yang dilakukan pada tahun lepas, bayaran bagi Bantuan Khas Kewangan akan dibuat pada akhir tahun yang sama dan tidak pada tahun berikutnya seperti amalan Kerajaan Persekutuan terdahulu. Bayaran khas tersebut akan melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion.
Bantuan Khas Kewangan untuk tahun ini akan dibuat pada 18 Disember 2019 dan memanfaatkan 1.5 juta penjawat awam Kerajaan Persekutuan, merangkumi pegawai lantikan tetap serta pegawai kontrak. Pembayaran sebelum hujung tahun dibuat antara lainnya untuk membantu ibu bapa di kalangan penjawat awam dengan persiapan untuk persekolahan anak mereka menjelang tahun baharu.
Pada masa yang sama, kerajaan juga akan membuat bayaran khas sebanyak RM250 kepada 1 juta pesara termasuk veteran tidak berpencen dan pesara awam tidak menerima pencen bagi mengenangkan khidmat bakti mereka..