ADAKAH ZAHID IKUT AGENDA HISHAMUDDIN.



Berdasarkan pemahaman secara umum, tindakan Apandi Ali meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO secara mengejut adalah kerana tidak berpuas hati dengan adanya arahan agar menangguhkan perbicaraan disiplin terhadap bekas Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein.
Sehubungan itu, Apandi menegaskan, beliau meletakkan jawatan kerana tidak sedia menjadi kuda tunggangan sesiapa.
“Saya tidak sanggup jadi kuda tunggangan. Maruah saya lebih penting daripada jawatan,” kata Apandi yang merupakan bekas Peguam Negara era Najib Razak.
Perbicaraan itu sepatutnya diadakan semalam, 26 Disember 2019.
Sementara itu, Ahli MT UMNO, Lokman Adam mendakwa, pihak yang mengarahkan penangguhan perbicaraan terhadap Hishammuddin itu adalah Presiden UMNO sendiri, Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, beliau memuji Apandi sebagai seorang yang berprinsip atas tindakannya meletakkan jawatan itu.
“Lembaga Disiplin UMNO sepatutnya adalah sebuah badan bebas yang tidak boleh disekat daripada menyiasat sesiapa sahaja tanpa dihalang termasuk oleh Presiden parti.
“Tindakan Presiden UMNO ini jelas bercanggah dengan perlembagaan parti dan menghina kedudukan Lembaga Disiplin itu sendiri,” katanya lagi.
Sesungguhnya inilah nasib Presiden UMNO setelah BN tidak lagi berkuasa kerana jika Presiden UMNO itu berjawatan Perdana Menteri, tindakan atau arahannya bukan saja akan diterima dengan senang hati oleh sesiapa malah akan diberi puji-pujian oleh ramai yang lain lagi.
Tetapi, jika benar arahan itu datang daripada Presiden UMNO, mengapakah Zahid Hamidi memberi arahan agar perbicaraan terhadap Hishammuddin itu ditangguhkan?
Apakah tindakan Hishammuddin bersama 21 Ahli Parlimen UMNO mengadakan pertemuan secara sulit dengan Azmin Ali di rumahnya pada waktu malam baru-baru ini bukan suatu kesalahan?
Apakah Zahid Hamidi sebenarnya takut dengan gerakan Hishammuddin yang dipercayai umum ada hubungan baik dengan Tun Mahathir Mohamad, malah sebagaimana didakwa oleh Lokman, prosiding terhadap bekas Naib Presiden UMNO atas kesalahan melanggar peraturan parti itu sudah dibatalkan sebanyak tiga kali?
Ataukah Zahid Hamidi sudah mula bersetuju dengan gerakan Hishammuddin yang dipercayai ramai mahu mengukuhkan kedudukan Tun Mahathir, seterusnya agar kekal lebih lama sebagai Perdana Menteri melalui gabungan atau kerjasama baru dan dengan demikian, Presiden UMNO yang sedang berdepan banyak kes mahkamah, akan turut kembali ke persada kuasa semula?
Akan ditinggalkankah Najib dalam percaturan ini? (ShahbudinHusin 27/12/2019)