Serah jawatan: Tun Mahathir tidak mahu jadi PM ‘tidak berkuasa’
Terdapat pelbagai spekulasi mengapa PM Tun Mahathir tidak mengumumkan tarikh khusus akan menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Pemerhati politik berspekulasi beliau tidak mahu dirayu oleh pemimpin di sekelilingnya agar tidak menyerahkan kuasa atau dipujuk untuk bertahan selama mungkin bagi memastikan parti diterajuinya, Bersatu tidak mengecil menjelang pilihan raya umum ke 15.
Namun pendedahan Anwar semalam merupakan sebab paling tepat mengenai misteri serahan kuasa itu dirahsiakan tarikhnya.
Menurut Anwar, Tun memberitahunya jika beliau mengumumkan tarikh terlalu awal maka beliau akan menjadi PM ‘tidak berkuasa’ sementara menunggu masa berundur.
“Beliau pernah meluahkan, ‘Anwar saya sudah berjanji dan akan menunaikan janji berkenaan. Tak patut paksa saya umum tarikh (persaraan) kerana akan menyebabkan saya jadi perdana menteri yang tidak berkuasa’,” kata Anwar dipetik The Malaysian Insight.
Oleh itu, isu berkenaan sudah selesai dan tidak adil kepada Mahathir sekiranya masih timbul spekulasi mengenai tarikh peralihan kuasa itu.
“Semua pihak, setiap sidang media, CNN bertanya kepada Mahathir bila dia akan bersara.
“Saya tidak mengambil ringan isu itu. Tolong hentikan isu ini, biar dia terus berkhidmat,” katanya dalam sesi soal jawab Persidangan Kepimpinan APEX di Kuala Lumpur.
Isu mengenai peralihan kuasa itu dibangkitkan oleh pengerusi persidangan.
Perkara itu dibangkitkan semula bulan lalu oleh pengasas dan bekas timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali yang mencurigai keikhlasan Dr Mahathir untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.
Syed Husin mengkritik Dr Mahathir kerana tidak menyatakan pelan peralihan kuasa yang jelas serta mempersoal pemimpin PH lain yang menurutnya tidak mampu mempersoalkan perkara itu.
Mahathir berulang kali menyatakan komitmennya terhadap janji menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar tetapi tidak meletakkan tempoh khusus untuk itu.