TANJUNG PIAI SUKAR BUAT PH,TIDAK MUDAH BUAT BN.

Walaupun SPR hanya akan bermesyuarat pada 1 Oktober depan untuk menentukan tarikh pilihanraya kecil Tanjung Piai, keghairahan orangramai memperkatakannya telah bermula sebaik saja berita kematian Dr. Md Farid Md Rafik mula tersebar pada pagi Sabtu lalu.
Hanya beberapa jam setelah beliau diberitakan meninggal dunia kerana serangan jantung, sebermula itulah juga ramai yang serentak memberi reaksi, komen dan ulasan mengenai pilihanraya kecil Tanjung Piai itu.
Termasuk antara yang paling awal memberi komen ialah Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang pada ketika itu berada di Sabah dengan mengatakan UMNO akan berbincang dengan parti komponen BN yang lain sebelum membuat keputusan berhubung pemilihan calon.
Di media sosial dan kedai kopi, baik melibatkan orang biasa atau orang politik yang ada jawatan dalam pelbagai parti serta tidak berjawatan, masing-masing seperti ada keghairahan tersendiri memberi ulasan dan membuat ramalan.
Dalam PRU14 lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi Tanjung Piai dengan majoriti 524 undi dan beliau yang mewakili Bersatu kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Beliau yang memperolehi 21,255 undi mengalahkan calon BN daripada MCA, Wee Jeck Seng (20,731 undi) dan calon Pas, Nordin Othman (2962 undi)
Dengan PH menghadapi pelbagai tekanan dan isu, sementara UMNO dan Pas baru saja “berkahwin” berasaskan Piagam Muafakat Nasional, inilah yang sebenarnya menjadikan pilihanraya kecil Tanjung Piai begitu menarik sekali.
Di atas kertas dan berdasarkan sifir mudah, oleh kerana UMNO dan Pas sudah bekerjasama di mana dijangka hanya akan berlaku pertandingan satu lawan satu, tidak lagi tiga penjuru seperti PRU14 lalu, BN (20,731 + 2962) dengan mudah mampu menewaskan Bersatu (21,255) pada pilihanraya kecil nanti.
Berdasarkan itu, jika dalam PRU14 lalu Md Farid menang dengan majoriti 524 undi, penyatuan UMNO dan Pas bakal membuatkan gabungan itu menang dengan kelebihan 2,438 undi.
Tetapi, itu jika berdasarkan jumlah undi pada PRU14 lalu yang keadaannya tentu tidak sama dengan pilihanraya kecil nanti.
Yang menjadi persoalan, mampukah Bersatu mempertahankan kerusi Tanjung Piai sekali lagi?
Atau UMNO melalui kerjasama dengan Pas lebih mudah merampasnya?
Sebelum jawapan diketahui, dirasakan yang akan banyak menjadi penentu ialah siapakah calon yang akan diletakkan oleh BN?
Adakah masih MCA atau akan diserahkan kepada UMNO sebagaimana MIC telah memberi laluan kepada BN meletakkan calon Melayu di Cameron Highlands sebelum ini?
Sehingga ini nampaknya, baik MCA atau UMNO, masing-masing menunjukkan minat yang tinggi untuk bertanding di Tanjung Piai.
Dengan komposisi pengundi Melayu
57 peratus dan Cina 42 peratus, baik UMNO atau MCA, setelah wujudnya kerjasama dengan Pas, kedua-duanya merasakan hampir pasti mampu menewaskan calon Bersatu di kerusi itu.
Lebih-lebih lagi bagi UMNO yang ketika ini disemarakkan dengan kempen BMF atau Buy Muslim First, ditambah dengan bantuan serta doa daripada Pas, harapan mereka dikatakan lebih baik serta cerah berbanding jika BN meletakkan calon MCA.
Dengan ramai orang Melayu yang mula tidak berpuas hati terhadap kerajaan PH, selain pelbagai isu kaum dan agama yang ada, kelebihan memang nyata memihak kepada UMNO berbanding Bersatu.
Melalui perolehan majoriti undi Melayu, ditambah sedikit undi bukan Melayu, ia dianggap sudah memadai untuk calon UMNO mencapai kemenangan.
Tetapi, oleh kerana sebelum ini Tanjung Piai merupakan kerusi MCA, menyerahkannya kepada UMNO setelah Cameron Highlands juga diserahkan oleh MIC kepada UMNO, ia adalah gambaran buruk tentang perkongsian kuasa yang akan difahami oleh pengundi bukan Melayu.
Keadaan itu, bukan saja mungkin menyebabkan pengundi bukan Melayu terus memboikot calon BN, malah menipiskan peluang untuk menang dalam PRU15 akan datang.
Dalam hal ini, PH memang tiada masalah dari segi meletakkan calon kerana kerusi yang pernah ditandingi Bersatu akan tetapi menjadi milik parti itu.
Cuma, jika benar BN dikatakan akan meletakkan Khaled Nordin, Naib Presiden UMNO dan bekas MB Johor sebagai calon, maka Bersatu haruslah juga meletakkan calon yang turut ada nama serta dikenali ramai.
Kalau tidak, kacang saja kena makan dengan BN nanti!
Begitu pun, jika Bersatu berlawan dengan MCA, keadaannya tetap sukar diramalkan. Tiada jaminan pengundi Melayu akan mengundi Bersatu dan tiada jaminan juga pengundi bukan Melayu akan memihak kepada MCA.
Jangkaan awal dan yang pasti, majoriti 524 undi bukan suatu kelebihan buat PH, bukan juga kekurangan buat BN.
Tanjung Piai – ternampak sukar buat BN, tapi tidak pula mudah untuk BN. (Shahbudindotcom 24/09/2019)