TUN M TIADA PILIHAN, SETUJU MENETAPKAN TARIKH BERUNDUR ADALAH JALAN KETENANGAN BUATNYA


Semakin hari tampaknya semakin ramai yang tampil menggesa agar Tun Mahathir Mohamad segera menetapkan tarikh peralihan jawatan Perdana Menteri daripadanya kepada Anwar Ibrahim.
Selain blog ini antara yang kerap berbuat demikian serta pelbagai pihak yang lain lagi, hari ini tiga NGO turut membuat desakan yang sama.
Bersih 2.0, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) adalah tiga NGO terbaru yang sepakat menuntut Tun Mahathir agar segera menetapkan tarikh peralihan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar bagi mengelakkkan berterusannya ketidaktentuan dan ketidakstabilan dalam PH dan juga negara.
Sesuai dengan janji Tun Mahathir yang mahu berkhidmat antara dua hingga tiga tahun sebagai Perdana Menteri, tiga NGO terbabit mahu peralihan kuasa mesti dilakukan sebelum Mei 2021.
Harus difahami bahawa ini bukanlah bermakna peralihan itu mesti dilakukan pada Mei 2021, sebaliknya tarikh tersebut adalah tarikh akhir peralihan kuasa yang dijanjikan itu selewat-lewatnya mesti dilakukan.
Tetapi, penetapan berhubung tarikh itu hendaklah dilakukan seberapa segera yang boleh oleh Tun Mahathir.
Menurut NGO terbabit, hanya dengan adanya ketetapan segera mengenai peralihan kuasa itu saja dapat mengelakkan ketidaktentuan dan khabar angin berterusan berhubung janji penyerahan kuasa kepada Anwar.
Berikutan permintaan, tuntutan dan desakan pelbagai pihak ini, Tun Mahathir, jika masih sayangkan PH dan mahu gabungan itu terus menjadi kerajaan yang stabil mentadbir negara ini, beliau tidak pilihan lain sebenarnya selain akur berhubung penetapan tarikh yang semakin banyak dituntut sekarang ini.
Perkara ini cuma perlu dibawa ke meja rundingan Majlis Presiden PH untuk dibincang dan diputuskan.
Jika Tun Mahathir mahu dua tahun, tetapkanlah segera tarikhnya.
Begitu juga jika beliau mahu dua setengah tahun atau tiga tahun bagi membolehkan pemimpin lantikannya dalam kerajaan terjamin mendapat pencen, biarlah perkara itu dibincang dan diputuskan dalam Majlis Presiden.
Namun, tarikh sebelum Mei 2021 adalah selewat-lewat tarikh peralihan kuasa itu mesti dilakukan.
Sebelum Mei 2021 boleh jadi Februari 2020, Mei 2020, Disember 2020 atau tarikh-tarikh lain yang asalkan sebelum Mei 2021.
Tarikh sebelum Mei 2021 bukan saja memadai untuk Tun Mahathir yang sudah berusia 94 tahun sekarang untuk berundur dan melakukan penyerahan jawatan, tetapi juga untuk memberi ruang kepada Anwar masa secukupnya mentadbir negara dan memperkenalkan dasar-dasar baru sebelum pilihanraya umum seterusnya.
Anwar tidak harus diberi masa terlalu singkat sebelum ketibaan PRU15 yang sepatutnya diadakan pada 2023 kerana ia akan mendatangkan kesulitan kepada PH meneruskan kesinambungan kuasanya.
Dengan menetapkan tarikh penyerahan jawatan dengan segera juga, ia sebenarnya adalah jalan ketenangan paling baik bagi Tun Mahathir di sebaliknya usia bonusnya yang bila-bila masa saja boleh dipanggil mengadap Ilahi.
Selepas menetapkan tarikh itu beliau boleh menumpukan sepenuh perhatiannya kepada kerja-kerja untuk negara sebagaimana janjinya sebelum ini tanpa perlu menyerabutkan lagi dirinya dengan persoalan-persoalan lain seperti mengadakan pertemuan rahsia dengan pemimpin barua UMNO, Pas, GPS dan lain-lain demi untuk melanjutkan lagi tempohnya sebagai Perdana Menteri.
Apa nak difikir-fikir lagi soal mahu menjadi Perdana Menteri dengan lebih lama?
Apakah masih belum puas dan tidak kenyang-kenyang dapat jadi Perdana Menteri selama 22 tahun bersama BN dan dua atau tiga tahun bersama PH?
Bukankah di penghujung usia, siapa saja, selalunya lebih memikir dan memilih jalan ketenangan untuk diri mereka? (Shahbudindotcom 07/08/2019)