Henti polemik peralihan kuasa – AMK Johor
Pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak perlu menyambung ‘permainan politik’ pembangkang berkenaan isu peralihan kuasa.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri Johor berkata, sewajarnya semua pihak menumpukan usaha membangunkan negara dan menghormati resolusi dipersetujui semua parti komponen dalam konvensyen Pakatan Harapan pada Januari 2018 tahun lalu.
“Justeru, AMK menyarankan agar pemimpin HARAPAN tidak mengungkit soal peralihan kuasa di khalayak umum,” kata Ketuanya, R. Yuneswaran dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail turut memberi nasihat sama.
Tegasnya, kenyataan berulang kali berkaitan isu tempoh jawatan perdana menteri hanya akan membuatkan rakyat berasa ‘meluat’.
Sementara itu, AMK Johor dalam kenyataan serupa juga berkata, mereka berkeyakinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai persefahaman kukuh dan pengalaman yang diperlukan dalam urus tadbir bagi menerajui negara ini.
“Kami AMK Johor menyeru semua menghormati dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak membina dan berfaedah kepada rakyat Malaysia,” tambah mereka. – RF8 Media