Selepas panggilan telefon Anwar, penganjur batal himpunan anti Zakir
Pengajur satu lagi himpunan kaum India membantah pendakwah Dr Zakir Naik yang dijadualkan pada petang ini di Brickfields, Kuala Lumpur bersetuju membatalkan niat mereka selepas menerima satu panggilan daripada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.
Menurut penganjur himpunan berkenaan, Shankar Ganesh, pembatalan perhimpunan dibuat selepas Anwar berjanji akan mendengar ketidakpuasan hati masyarakat India terhadap cara kerajaan Pakatan Harapan menangani isu sensitif sejak kebelakangan ini.
“Anwar Ibrahim telah menelefon saya dan meminta untuk membatalkan perhimpunan tersebut.
“Beliau berjanji untuk membantu masyarakat India. Beliau telah memberikan kami temu janji untuk bertemu dengannya pada minggu depan bagi membincangkan isu-isu ini.
“Saya telah bersetuju terhadap permintaan beliau dan saya mahu meletakkan keyakinan terhadap janji beliau,” katanya dalam suatu kenyataan dipetik Malaysiakini.
Selain itu, menurut Shankar himpunan Sabtu itu dibatalkan kerana kegagalan pihak penganjur mendapatkan permit polis.
“Tanpa permit, saya tidak mahu orang ramai menerima kesan akibat sebarang isu.
“Saya memilih berhimpun dengan permit,” jelasnya lagi.
Himpunan ‘Say No Zakir Naik, Equal Rights to Indians and Other Races’ itu yang dijadual berlangsung pada pukul 2 telah mendapat maklum balas negatif daripada ramai pihak yang menggesa supaya ianya dihentikan.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim memberikan amaran keras agar orang ramai tidak menyertai dua perhimpunan yang dirancang pada Jumaat dan Sabtu.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dalam suatu kenyataan malam tadi pula menggesa semua pihak supaya “tidak memainkan isu sensitif yang boleh memecahkan keamanan dan ketenteraman awam.”
“Semua bentuk tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan termasuklah perhimpunan-perhimpunan aman yang dirancang hendaklah dihentikan serta-merta,” katanya.
Himpunan Sabtu merupakan himpunan kedua kaum India selepas himpunan malam tadi di Brickfields membantah pengajaran tulisan Jawi kepada sekolah vernakular yang akan melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil pada tahun hadapan. – RF8 Media