Tun M boleh damaikan krisis Anwar – Azmin – Ahli akademik
Seorang ahli akademik mencadangkan supaya Dr Mahathir Mohamad menjadi pengantara dalam konflik Anwar Ibrahim dengan Mohamed Azmin Ali bagi menamatkan perselisihan dalam PKR.
Azizudin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia memberitahu FMT bahawa perdana menteri merupakan individu terbaik untuk berperanan sebagai pendamai kerana beliau dihormati dan dikenali rapat oleh kedua-dua presiden dan timbalan presiden PKR itu.
Beliau juga mencadangkan supaya proses damai itu dibuat secara tertutup, selain percaya ia tidak akan mengganggu siasatan polis ke atas isu klip video seks yang dilihat menyumbang kepada pergeseran dalam PKR.
Azmin merupakan individu utama berhubung kontroversi penyebaran video berkenaan di internet. Bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Aziz mendakwa individu yang dirakamkan dalam video itu adalah dirinya dan Azmin. Dakwaan yang dinafikan oleh menteri hal ehwal ekonomi itu.
Azizuddin berkata, krisis dalaman PKR mengganggu usaha kerajaan menstabilkan ekonomi negara.
Katanya, Anwar dan Azmin perlu memberitahu penyokong masing-masing supaya menghentikan persengketaan terbuka.
“Jika keadaan ini berterusan, ia akan memberi kesan bukan sahaja ke atas Pakatan Harapan (PH), tetapi juga ke atas ekonomi kerana pelabur akan sentiasa mengikuti masalah kepimpinan,” katanya.
Seorang lagi pensyarah di universiti sama, Kamarul Zaman Yusoff berkata, siasatan polis yang perlahan ke atas isu video berkenaan juga tidak membantu meredakan kemelut yang berlaku dalam PKR.
Bagaimapaun katanya, serang-menyerang terbuka antara kumpulan terbabit juga mungkin berperanan melambatkan proses siasatan polis.