PH jangan ikut rentak Najib – Daim
Kerajaan Pakatan Harapan hanya perlu fokuskan kepada “naratifnya sendiri” daripada membuang masa memberi reaksi kepada Najib Razak, kata Daim Zainuddin.
Bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu memberitahu Focus Malaysia dalam satu sesi wawancara hari ini, pentadbiran Dr Mahathir Mohamad perlu berhenti membuang masa melayan bekas perdana menteri itu.
“Saya tanya Najib siapa yang runding perjanjian Laluan Rel Pantai Timur? Sampai sekarang beliau masih belum jawab.
“Itu sebabnya saya katakan, masalah dengan PH ialah mereka dilihat semakin mengikut rentak Najib. Mereka tidak sepatutnya begitu.
“Fokuskan kepada naratif kamu sendiri dan lupakan beliau. Sebaliknya, mereka beri tumpuan untuk menjawab kepada beliau. Kenapa buang masa?” kata Dai pada sesi wawancara itu.
Daim mengulas mengenai soalan bagaimana Malaysia mengambil pendekatan untuk bekerjasama dengan China. Beliau berkata, Malaysia perlu masuk dengan pandangan yang terbuka luas, bukan hanya dengan China tetapi juga dengan syarikat atau kerajaan asing.
Dalam sesi wawancara dengan The Malaysian Insight minggu lalu, Daim berkata PH tidak boleh mengikut rentak ketidak harmonian kaum yang dimainkan pembangkang untuk mendaatkan semula Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 15.
Beliau yang juga sekutu rapat Dr Mahathir berkata PH, yang memenangi visi inklusif dan pluralistik hubungan etnik, harus menunjukkan apa yang baik dan pentadbiran yang adil.
“Mengapa PH perlu mengikut rentak pembangkang? Mereka perlu tetapkan agenda. Mereka perlu berikan contoh tadbir urus yang baik dan adil untuk semua masyarakat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Tunjukkan apa yang kamu perjuangkan untuk semua rakyat Malaysia, yang tadbir urus kamu adalah mengenai nilai sejagat yang diterima oleh semua agama. Hentikan daripada dipengaruhi retorik pembangkang.
“Duduk, bincang, fikir dan hasilkan suatu program inklusif yang baik yang akan menyentuh kehidupan semua rakyat Malaysia.
“Tunjukkan kamu kerajaan yang prihatin. Kamu adalah kerajaan rakyat.