Najib arah tentera siber Umno serang DAP – Kit Siang
Cybertrooper Umno melancarkan perang saraf siber ke atas DAP untuk menjatuhkan Pakatan Harapan atas arahan Najib Razak, kata Lim Kit Siang.
Lim dalam kenyataan hari ini berkata beliau melihat sendiri mesej WhatsApp daripada Najib dan ibu pejabat perang saraf Umno kepada cybertrooper mereka untuk menyerang DAP bagi menyelamatkan Najib daripada dipenjara.
Menurut Lim, mesej WhatsApp itu berbunyi:
“Arahan dari HQ, sekarang pastikan setiap posting kita tumpu pada DAP dan kalau boleh gunakan kreativiti untuk kaitkan dengan isu bangsa dan agama
“Mengikut maklumat intel, akan ada pendedahan penyelewengan pemimpin Umno terbaru dari kerajaan, kita akan counter dengan kaitkan dengan DAP, pastikan team focus pada isu DAP tidak kira isu apa pun.”
Lim berkata mesej tersebut menjadi bukti ramalannya dua hari lalu bahawa terdapat perancangan baharu sedang giat dijalankan oleh Najib, Jho Low dan ibu pejabat perang saraf Umno.
Veteran DAP itu berkata, matlamat akhir perang saraf pembangkang itu jelas mahukan kehancuran PH dan menyelamatkan “duo kleptokratik Malaysia” daripada dipertanggungjawabkan ke atas skandal dana negara sarat hutang 1MDB.
Tambahnya lagi, mereka mahu memecahbelahkan parti komponen PH dan ahli politik kerajaan dengan menggunakan konflik perkauman atau agama.
Pembangkang kini sudah ketandusan idea selepas strategi mereka sebelum ini tidak mendatangkan hasil, menyebabkan rancangan baharu menyerang DAP untuk melumpuhkan PH dilaksanakan, jelasnya lagi.
Menurutnya, taktik terbaru itu mahu menjadikan DAP sasaran dan memberikan gambaran wujud konflik kaum dan agama antara parti komponen PH.
Dalam tempoh beberapa jam selepas membuat kenyataan Isnin lalu, kata Lim, beliau membaca dua berita palsu mendakwa DAP menjadi pihak pendesak dalam pakatan pemerintah.
Walaupun sudah membuat penjelasan menafikan perkara itu, rencana sama diterbitkan laman Umno Online, katanya lagi.
Disebabkan perkembangan terbaru ini, beliau mengingatkan pemimpin PH supaya berhati-hati dengan teknik perang saraf pembangkang dan tidak terjebak jadi mangsa “politik jahat” mereka. –