Politik perkauman, agama ekstrem lahirkan pengganas
Pada 13 Mei lalu negara dikejutkan dengan penahanan 4 pengganas yang berniat untuk menyerang tempat ibadat orang bukan Islam bagi membalas dendam kematian anggota bomba, Muhammad Adib dalam rusuhan di sebuah kuil Hindu di Selangor beberapa bulan lalu.
Buat pertama kalinya agenda pengganas beralih daripada isu konflik antarabangsa di Filipina, Thailand atau Syiria kepada isu dalaman Malaysia
Menurut penganalisis ekonomi, Jameson Tan, agenda keganasan yang mula fokus isu dalam negara adalah lebih merbahaya dan mampu mendatangkan kesan berantai yang buruk berbanding berasaskan konflik di luar.
Beliau tidak menolak kemungkinan perubahan fokus dan agenda pengganas itu disebabkan pendekatan politik yang diamalkan pembangkang sejak setahun lalu yang lebih menjurus ke arah gerakan kiri perkauman dan keagamaan sempit.
“Saya berpendapat wujudnya agenda keganasan (serang rumah ibadat) itu disebabkan oleh retorik perkauman yang kuat disebarkan oleh pihak pembangkang sejak Pakatan Harapan (PH) menang Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lalu.
“Sejak itu, puak-puak ekstremis dari parti pembangkang tidak henti-henti menanam kebencian terhadap masyarakat bukan-Melayu terutamanya masyarakat Cina dengan tuduhan tidak berasas bahawa ‘Cina hendak merampas kuasa atau Cina hendak menjadi PM’ juga bermacam-macam tuduhan palsu lain yang bertujuan memperdayakan serta meracuni minda masyarakat Melayu supaya wujud situasi yang mampu menjejaskan keharmonian di antara kaum atau menimbulkan huru-hara,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Bagi Jameson, untuk tidak menambah parah keadaan, sudah tiba masanya sesiapa sahaja yang mengungkit isu perkauman ditangkap, didakwa dan dipenjarakan jika kerajaan tidak mahu kejadian pengeboman 3 gereja di Sri Lanka berlaku di Malaysia.
Katanya, andai berlaku keganasan dalam skala kecil sekali pun, dengan suasana ekonomi Malaysia yang kurang baik maka pelabur asing pasti akan meninggalkan negara ini.
“Walaupun pelabur asing yakin terhadap keberkesanan pihak polis Malaysia dalam hal memerangi keganasan namun pelabur asing juga merasa takut kerana hanya satu pengganas dengan sebiji bom dengan mudah boleh menggugat kedamaian negara.
“Justeru itu, saya menggesa Kerajaan PH supaya jangan melengah-lengahkan lagi mengambil tindakan tegas terhadap puak-puak ekstremis di Malaysia yang berani menyebarkan kebencian terhadap kaum lain,” katanya.