Pastikan menang bukan persoal Anwar tanding di PD, kata Azmin

Pastikan menang bukan persoal Anwar tanding di PD, kata Azmin


Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bukan saja tidak perlu dipersoalkan, malah menjadi tugas semua pihak dalam PKR serta Pakatan Harapan (PH) memastikan kerusi itu dimenangi dengan majoriti lebih besar.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu semua pihak termasuk jentera parti digerakkan dan memberi fokus kepada usaha memastikan kemenangan Ketua Umum PKR itu.
Mohamed Azmin mengakui ada pihak mempersoalkan kewajaran Anwar bertanding di Port Dickson seperti disuarakan bekas Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga, namun ia terpulang kepada pandangan masing-masing.
“Fokus saya dan rakan lain dalam PH ialah pertahankan kerusi Port Dickson, kita akan bekerja keras dan gerakkan jentera untuk memastikan bukan saja menang, tapi dapat majoriti lebih besar, sebab ini penting untuk kita teruskan mandat rakyat.
“Keputusan sudah dibuat (Anwar bertanding di Port Dickson), biar kita fokus pada jentera untuk pastikan kita menang,” katanya dipetik BH Online.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau projek pembinaan jejambat di Jalan Lintas, di Kota Kinabalu, petang tadi.
Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony.
Ambiga sebelum ini mempersoalkan langkah untuk mengadakan PRK Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.
Beliau dilaporkan berkata, sewajarnya isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Pandan atau anak pasangan itu, Nurul Izzah (Permatang Pauh) yang memberi kerusi kepada beliau, bukan Datuk Danyal Balagopal Abdullah.
Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata isu gangguan bekalan elektrik, bekalan air bersih dan jaringan jalan raya termasuk Lebuh Raya Pan Borneo antara perkara di Sabah yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan demi memastikan hak rakyat terus terbela.
“Kita juga mendapat pandangan dari kerajaan negeri berhubung isu keselamatan dan ia penting kerana boleh menjejaskan industri pelancongan dan ekonomi Sabah, kita akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk pembangunan Sabah,” katanya.
Terdahulu, beliau hadir taklimat pembangunan negeri oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah.

No comments: