Langkah PD untungkan Rafizi?
Pelbagai lapisan pimpinan parti PKR melihat “Langkah PD” yang dibuat untuk mengembalikan Anwar Ibrahim ke Parlimen lebih bermanfaat kepada calon timbalan presiden parti, Rafizi Ramli.
Seorang pemimpin kanan PKR berkata beliau melihat Rafizi menggunakan pilihan raya itu untuk kempen peribadi bagi memenangi pemilihan parti.
Beliau yang enggan dinamakan mendakwa, Rafizi ingin menonjolkan dirinya lebih rapat dengan Anwar berbanding pemimpin lain.
“Kita nampak dia (Rafizi) hendak gunakan modal ini untuk pemilihan. Nak tunjuk dia sangat rapat dengan Anwar. Dia nak tunjuk Anwar ikut cara dia.
“Kalau tidak kenapa hendak buat sekarang dan tergesa-gesa sangat. Dia cakap ‘Anwar kembali ke Parlimen’ sebagai sebahagian daripada kempen dia,” kata pemimpin itu.
Beliau berkata demikian dengan mengaitkan sidang media PKR, Rabu lalu, yang mengumumkan kerusi Port Dickson sebagai kawasan yang akan ditandingi Anwar.
Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Agung Saifuddin Nasution bersama pemimpin kem “Reformasi 20 Tahun” – Rafizi, Johari Abdul serta beberapa pemimpin lain.
Sementara itu, kalangan pemimpin muda Negeri Sembilan pula melihat kerusi Port Dickson dipilih bagi menarik sokongan tujuh cabang di negeri itu yang berpihak kepada Mohamed Azmin Ali.
Seorang pemimpin negeri berkata perkara itu berlaku kerana Menteri Besar Aminuddin Harun gagal menyatukan keseluruhan cabang kerana memberi sokongan terbuka kepada Rafizi.
“Pada kita ini bukan langkah Anwar tapi langkah calon timbalan presiden yang sengaja mengadangkan pilihan raya kecil (PRK) diadakan secepat mungkin.
“(Rafizi) guna isu ini atas dasar kononnya membantu Anwar menjadi PM. Dia juga mahukan pengaruh sokongan tujuh cabang tapi saya rasa ia langsung tak berkesan,” kata sumber tersebut yang enggan dinamakan.
Katanya anggota PKR di Negeri Sembilan tetap menyokong Azmin sebagai timbalan presiden berdasarkan prestasi menteri itu sebagai menteri besar Selangor sebelum ini.
“…Anggota cukup matang menilai kredibiliti berdasar pencapaian Azmin sebagai MB Selangor,” kata pemimpin tersebut.
Seorang lagi anggota parti juga tidak bersetuju dengan usaha pasukan Rafizi untuk meletak Anwar bertanding di Port Dickson kerana ia bukan kubu kuat PKR berbanding kerusi seperti Permatang Pauh.
“Sebab banyak lagi kerusi selamat seperti Permatang Pauh. Kempen Rafizi mengatakan Azmin halang Anwar jadi PM dan sekarang dia nak tunjukkan betul-betul perkara itu.
“(Rafizi) tak sepatutnya jadikan Anwar sebagai buah catur. Ini risiko tinggi,” kata anggota dari Negeri Sembilan itu.
Turut bimbang dengan perkara itu adalah Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin yang berkata parti tidak boleh ambil mudah peluang di PRK Port Dickson.
Katanya, tiga PRK yang dihadapi sejak Mei lalu – di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong menyaksikan peratusan keluar mengundi yang rendah.
“Kemungkinan besar kita akan berhadapan dengan Umno-Barisan Nasional bersama dengan PAS dalam PRK ini. Maka pasti tugas bukan mudah untuk kita memenangi kerusi Port Dickson ini,” tambahnya. – TMI