Anwar sokong Tun M, tiada kahwin sejenis
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong pendirian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bahawa perkahwinan sejenis tidak akan dibenarkan di Malaysia.
Beliau berkata satu-satunya perbezaan adalah beliau percaya undang-undang berkaitan liwat perlu dipinda bagi mengelakkan penyalahgunaannya.
“Sebenarnya kami tiada perbezaan pandangan. Sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai pemahaman agama, kami tidak setuju dengan perkahwinan sejenis.
“Kesucian perkahwinan adalah antara lelaki dan perempuan,” katanya seperti dipetik portal Malay Mail.
Mahathir semalam berkata perkahwinan sejenis tidak akan dibenarkan di Malaysia kerana ia bertentangan dengan sistem nilai di sini.
Pada hari yang sama, Anwar dilaporkan berkata undang-undang berkenaan liwat di negara ini perlu dipinda kerana sudah lapuk dan tidak adil, seperti yang dapat dilihat dalam dua kes itu terhadapnya.
“Ia bukan saja kuno, ia undang-undang penjajah British, diperkenalkan di India dan dibawa ke Malaysia. Ia tidak adil kerana seseorang itu boleh dituduh, tanpa bukti, seperti dalam kes saya,” katanya dalam wawancara bersama Al Jazeera.
Dalam pada itu, Anwar menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau tidak akan menjaga kepentingan Melayu dan Islam apabila menjadi perdana menteri.
“Sesetengah orang bimbang yang saya akan jadi kurang Melayu dan Islam apabila menjadi perdana menteri.
“Saya ingin nyatakan di sini bahawa saya akan mempertahankan Melayu dan kaum-kaum lain juga. Kaum lain menyokong kita kerana mereka percaya kita akan berlaku adil kepada mereka,” katanya lagi seperti dipetik.