Ada kumpulan sengaja cetus kekecohan – Rafizi
Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli memberi amaran wujudnya kumpulan tertentu yang sengaja mencetuskan kekecohan ketika pemilihan parti itu.
Beliau berkata kumpulan berkenaan akan mula mencetuskan provokasi apabila merasakan calon mereka akan tewas dalam pemilihan yang bermula semalam.
“Bila dia rasa nak kalah akan ada orang buat provokasi, mereka akan mula marah-marah nak buat protes. Calon yang rasa dia nak kalah memang pasang orang nak buat kacau.
“Saya akan suarakan pada Anwar Ibrahim lepas ini kita minta kerjasama polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Ada orang gila nak pecahkan kepala, kita panggil polis bubuh mereka dalam lokap,” katanya ketika berucap dalam pertemuan Pasukan Reformasi 20 Tahun di ibu negara, malam tadi.
Kekecohan berlaku ketika pemilihan PKR di Pulau Pinang dan Kedah berlangsung semalam dan empat individu ditahan polis.
Sehubungan itu, pemilihan di Perak dan Perlis yang dijadualkan berlangsung esok ditunda kepada satu tarikh yang akan ditetapkan.
Rafizi berkata pemilihan PKR di Pulau Pinang yang berlangsung semalam juga memihak kepadanya, walaupun diketahui umum negeri itu merupakan kubu kuat pasukan calon timbalan presiden Azmin Ali.
“Pulau Pinang, pengerusinya Mansor Othman kawan baik Azmin dan dilihat kubu kuat pasukan kartel, tetapi keputusan dari cabang yang keluar menunjukkan kalau saya tak menang pun, saya hanya berada beberapa puluh atau ratus undi, saya sedang mendahului di Pulau Pinang,” katanya di hadapan kira-kira 200 ahli PKR.
Dalam ucapannya, Rafizi juga mengulangi dakwaannya sebelum ini bahawa Azmin pernah bertemu Anwar di Turki untuk meminta kebenaran bagi bertanding jawatan presiden.
“Kalau saya fitnah reka cerita, sudah tentu peguam yang rapat dengan Azmin, mereka ada Latheefa Koya, N Surendran sudah saman saya.
“Sahabat kita memang jumpa Anwar untuk minta jadi presiden tapi bila Anwar nyatakan dia akan bertanding sepatutnya ok lah.
“Masalahnya memang ada kumpulan kartel yang pandangan mengenai parti dan Anwar tak sama macam kita,” katanya.
Rafizi berkata rancangan meletakkan Anwar di Parlimen adalah persediaan untuk peralihan kuasa sekiranya sesuatu berlaku kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Dr Mahathir umur dah 93 tahun. Alhamdulillah dia hidup lama dan masih bekerja. Lazimnya orang umur 93, 94 tahun, kita kena simpan buat perancangan. Kalau Dr Mahathir sakit dan tidak sihat, siapa nak jadi perdana menteri lepas itu.
“Contohnya kalau Dr Mahathir tak dapat berkhidmat, untuk ada peralihan kuasa yang licin itu bermakna ada kekosongan kuasa, orang tengok negara kita tak stabil, dan huru-hara, semua orang nak jadi perdana menteri.
“Itu sebabnya letak Anwar di Parlimen untuk ambil alih jawatan adalah tindakan yang bertanggungjawab,” katanya.
Anwar dijangka bertanding kerusi Parlimen Port Dickson selepas penyandangnya, Danyal Balagopal Abdullah melepaskan kerusi itu.
Pilihan Raya Kecil Port Dickson dijadualkan berlangsung 13 Oktober depan