Harga minyak kekal 5 minggu jadi bahan kempen PH
Harga minyak di pasaran tempatan yang kekal untuk 5 minggu berturut-turut sejak 22 Mac lalu kini menjadi bahan kempen Pakatan Harapan (PH) menentang polisi BN yang menarik balik subsidi bahan api itu.
Sebelum ini, BN berhujah kerajaan tidak mampu memberikan subsidi dan harga minyak Malaysia perlu mengikut harga pasaran dunia. Namun anehnya, selepas pembubaran parlimen harga RON95 kekal pada RM2.20 seliter, RON97 pada RM2.47 seliter dan diesel pada harga RM2.18 seliter; walaupun harga minyak di pasaran dunia telah meningkat daripada AS$66 pertengahkan Mac lalu kepada AS$74 setong.
Penyandang kerusi parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye mengecam sikap BN memperdaya rakyat selama ini kononnya minyak tidak boleh disubsidi sedangkan ketika terdesak mahukan sokongan, BN mengembali subsidi.
“Ini menunjukkan dengan jelas bahawa Kerajaan BN boleh mengekalkan harga minyak untuk pasaran tempatan dengan harga yang sama walaupun harga minyak di pasaran dunia telah naik.
“Sedangkan mereka sepatutnya menaikkan harga minyak di pasaran tempatan selaras dengan harga di pasaran dunia kerana itulah tujuan menghapuskan subsidi sejak Disember 2014.
“Orang ramai kini bijak menilai dan mereka tahu harga minyak di Malaysia dikekalkan pada paras itu kerana Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).
“Justeru, Kerajaan BN tidak berani membenarkan harga minyak naik ke paras lebih tinggi. Tetapi umum tahu jika BN menang pada 9 Mei depan maka harga minyak pasti akan naik mendadak,” katanya kepada Suara pakatan daliy
Ramalan itu, kata Dr Lee selaras dengan komen netizen di media sosial dan orang ramai yang ditemuinya semasa turun padang. Menurut beliau rakyat bersetuju jika BN menang PRU14, sudah tentu harga minyak akan naik melambung.
“Para pengundi juga memberitahu saya mereka yakin pada dasar Pakatan Harapan untuk menurunkan harga minyak kerana pada zaman Tun Dr Mahathir minyak tidak mahal kerana disubsidikan.
“Oleh itu, saya berpendapat PH mempunyai peluang yang tinggi untuk menang PRU14 berdasarkan polisi kita untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan serta pengembalian subsidi pelbagai jenis barangan,” sambung beliau.