Saman Clare – Hadi: Penafian Najib untuk kelirukan orang awam
Penafian Datuk Seri Najib Razak mengenai pemberian RM90 juta kepada PAS sekadar kenyataan politik yang tidak akan mengubah prosiding mahkamah di London antara Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Clare Rewcastle-Brown, kata seorang peguam.
Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berkata, kenyataan itu hanya untuk menenangkan penyokong Najib atau mengelirukan orang awam yang mudah terpedaya.
“Kenyataan Najib mengenai perbicaraan mahkamah antara 2 individu tiada sebarang nilai. Ia sama seperti beliau bercakap kepada dinding,” katanya kepada FMT.
Syed Iskandar berkata demikian selepas Najib menyifatkan laporan Sarawak Report yang mendakwa beliau memberi RM90 juta kepada PAS sebagai mengarut.
Semalam, presiden Umno itu berkata, isu berkenaan direka pembangkang semata-mata untuk memburukkan beliau di mata masyarakat kerana pembangkang sudah “menggelabah”.
“Mana ada kita bagi. Tapi saya tidak boleh komen kes dalam mahkamah. Ini semua mengarut,” kata perdana menteri semalam.
Syed Iskandar berkata, untuk mempertahankan diri, Najib boleh memfailkan saman terhadap Clare kerana memfitnahnya atau permohonan mencelah dalam kes saman Hadi ke atas Clare atau bersedia memberi keterangan sebagai saksi bagi pihak Hadi.
“Paling penting ialah keterangan Najib di mahkamah di mana kesahihan keterangannya boleh diperiksa dan diperiksa balas oleh peguam sebelum penghakiman dibuat.”
Syed Iskandar berkata, Najib membuat keputusan terlebih dahulu mengenai isu itu dengan mengkritik pembelaan Clare.
“Tetapi, kenyataan penafian Najib sebelum prodising menunjukkan beliau sedang mempertahankan diri.”
Pada 21 April lalu, Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London terhadap satu artikel Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS sebagai usaha Najib “menarik” kepimpinan parti Islam itu menyokong Barisan Nasional dan Umno.
Minggu lalu, media melaporkan Clare yang juga editor Sarawak Report dalam tuntutan balas terhadap saman Hadi itu mendakwa beliau dan Ambiga ada bercakap mengenai Najib, 1MDB dan PAS pada Julai 2016.
“Ambiga memberitahu defendan sumbernya yang dikatakan boleh dipercayai, menganggarkan jumlah yang dibayar itu sekitar RM90 juta,” kata Clare dalam afidavitnya bertarikh 11 Oktober lalu.
Clare dalam pembelaannya turut menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 pegawai PAS dari kumpulan ulama yang didakwa menerima wang daripada dana disyaki 1MDB.
Wanita itu turut mendakwa Hadi berpakat dengan Najib atau ejennya untuk mengeksploitasi prosiding mahkamah di London dalam usaha melepaskan perdana menteri.
Beliau dilaporkan berkata, Hadi memfailkan saman itu bukan untuk melindungi imej sendiri, sebaliknya untuk melindungi reputasi dan tujuan politik PAS serta sekutu politiknya, Najib