Rakyat sokong PH walau Najib bagi ‘gula-gula’ Bajet 2018
Pembentangan Bajet 2018 pada Oktober lalu oleh PM Najib Razak tidak banyak mengubah corak sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH), kata Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran.
Menurut pemimpin DAP itu, walaupun bajet banyak memberi ‘gula-gula’ kepada rakyat namun sambutan mereka terhadap ceramah PH tidak berkurangan, terutamanya di kawasan-kawasan di mana Tun Dr Mahathir memberi ucapan.
“Ini menunjukkan rakyat masih menyokong PH. Namun demikian, kami perlu terus berusaha meraih sokongan pengundi Melayu di kampung-kampung kerana kumpulan inilah yang disasarkan oleh BN,” kata Kulasegaran kepada Suara pakatan daily.
Beliau berkata, sokongan rakyat di Perak, Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor amat baik. Manakala di Pahang dan Terengganu juga baik, tetapi di Kelantan, Melaka dan Perlis memerlukan usaha yang lebih keras.
Katanya lagi, situasi di Sabah dan Sarawak menurut rakan-rakan dalam PH agak sukar diramalkan. Namun rasa tidak puas hati terhadap BN semakin meningkat.
Kulasegaran berpendapat sokongan masyarakat Cina terhadap PH sudah kukuh tetapi sokongan daripada masyarakat Melayu perlu dipertingkatkan sehingga 55% dan sokongan dari kaum India pula perlu sampai ke paras 65% sebelum kedudukan PH boleh dikatakan ‘selesa’.
“Kalau pilihan raya umum pada bulan Mac 2018 maka PH boleh mendapat sokongan yang secukupnya. Tetapi ada spekulasi mengatakan parlimen akan dibubarkan bulan ini. Tetapi saya berani kata kami (DAP) cukup bersedia kalau PRU14 diadakan pada bulan Disember nanti.
“Tun Mahathir (Pengerusi PH) juga semakin mendapat sokongan rakyat berbilang kaum. Rakyat juga tidak lupakan Anwar Ibrahim. Gandingan dua pemimpin ini akan membawa Malaysia mara ke depan.
“Iklim ekonomi sudah lembab kerana ramai usahawan dan rakyat sedang menunggu PRU14 dan akan terus lembab sehingga PRU14 diadakan. Beberapa cawangan sebuah pasaraya (Giant) pun akan ditutup pada 5 November 2017 kerana kurang pelanggan.
“Ini amat menyedihkan sebab semakin ramai akan menganggur,” katanya.
Beliau berharap rakyat akan menilai bukti situasi ekonomi yang memburuk di Malaysia bagi menggantikan kerajaan di Putrajaya.
“Saya harap rakyat akan mengundi dengan bijak kali ini,” tambah beliau.