Umno tak bersungguh tawan Kelantan, beri laluan pada Pas?
UMNO ada senjata yang kuat untuk merampas Kelantan daripada PAS pada pilihan raya umum akan datang tetapi persoalannya apakah Umno bersungguh-sungguh mahu menang di negeri itu, kata ketua kumpulan pemikir IDEAS, Wan Saiful Wan Jan.
Menulis dalam kolum mingguannya di akhbar The Star, Wan Saiful berkata, ada dua sebab Umno boleh menang di Kelantan: jika berlaku pertembungan tiga penjuru dan jika Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed dinamakan sebagai calon menteri besar Barisan Nasional.
Katanya, Mustapa dihormati dalam kalangan orang Kelantan, disukai kawan dan lawan serta mempunyai rekod prestasi yang boleh dibanggakan.
“Kalau (Mustapa) dinamakan secara rasmi sebagai calon menteri besar, dan ditambah kesan pertembungan tiga penjuru, Umno akan ambil semula Kelantan dengan mudah.
“Persoalannya, bagaimanapun apakah Umno benar-benar mahu memenangi Kelantan,” tulis Wan Saiful, yang mengaku tidak melihat kesungguhan Umno.
“Beberapa orang kawan cuba meyakinkan saya Umno akan membenarkan PAS mengekalkan Kelantan sebagai pusat kuasanya sekiranya PAS setuju memaksa pertembungan tiga penjuru di serata negara.
“Semua pemimpin PAS yang saya temui menafikan sebarang rundingan dengan Umno, tetapi desas-desus itu terus terdengar.”
Mustapa yang juga ketua Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan, pernah beberapa kali disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Kelantan jika BN menang Kelantan.
Umno yang terlepas Kelantan kepada PAS pada pilihan raya umum 1990 hanya sekali berpeluang cerah merampasnya semula, ketika pilihan raya umum 2004 apabila hanya berselisih tiga kerusi DUN dengan parti Islam itu.
Mengulas tentang pertembungan tiga penjuru, Wan Saiful berkata kalau PAS, Umno dan Amanah meletakkan calon bertanding di semua kerusi negeri, Umno boleh duduk goyang kaki menunggu negeri itu diserahkan kepadanya.
“Perpecahan undi antara PAS dan Amanah sudah tentu akan menguntungkan Umno,” katanya.
Beliau mengingatkan bagaimana pada PRU13, PAS menang 17 daripada 32 kerusi yang dimilikinya dengan majoriti kurang 2,500 undi, 11 daripadanya dengan majoriti kurang 1,000 undi.
Katanya, jika Amanah dapat hanya 3,000 undi daripada PAS bagi setiap kerusi, itu saja sudah cukup untuk menyebabkan parti Islam kehilangan Kelantan.
“Saya yakin PAS sedar apa akan jadi pada parti itu sekiranya ia kalah Kelantan,” kata Wan Saiful. –