Kita semua sudah tidak boleh bersabar lagi. Sejak selesai hari raya haji, semua orang sudah letih bertanya, ‘bila agaknya pilihanraya?’
Mungkinkah pilihanraya bakal berlangsung tahun ini? Adakah Najib akan menanti sehingga luput tempoh mandat Dewan Rakyat tahun depan? Adakah Pakatan Harapan betul-betul sanggup mengambil-alih kerajaan?
Saya menjangkakan pilihanraya akan berlangsung tahun ini. Lebih spesifik lagi, Parlimen akan dibubar dalam bulan November, dengan tempoh kempen mencecah awal Disember. Pilihanraya akan berlangsung sebelum bermula musim tengkujuh.
Berikut saya ketengahkan beberapa sebab dan alasan bagi menyokong bacaan politik ini.
Hutang IPIC
Hujah pertama berkait pembayaran hutang kepada IPIC berjumlah RM5.16 bilion (US$1.2 bilion) oleh Kerajaan Malaysia.
Kita semua sedia maklum tentang keputusan timbangtara di London antara syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi dan syarikat pelaburan milik Kementerian Kewangan, 1MDB.
Bayaran berjumlah RM5.16 bilion tersebut telah dibahagi dua. Bayaran pertama sepatutnya dibuat pada 31 Julai lalu. Bayaran kedua pula, sebanyak RM2.58 bilion, perlu dilangsaikan pada akhir tahun ini.
Bayaran pertama tidak menepati waktu sehinggakan IPIC memberi tempoh lanjutan sehingga hujung Ogos, setelah terlebih dahulu memberi tempoh lima hari daripada tarikh luput asal 31 Julai.
Menurut 1MDB, kelewatan bayaran tersebut adalah kerana “1MDB masih lagi menunggu dana yang sepatutnya diterima pada Julai 2017. Berikutan keperluan mendapatkan kelulusan kawal selia tambahan (‘additional regulatory approvals’), penerimaan dana itu ditangguhkan kepada Ogos, 2017.”
Tiga hari selepas kerajaan Abu Dhabi memberikan tempoh lanjutan sehingga hujung Ogos, 1MDB membayar IPIC sebanyak US$350 juta pada 11 Ogos.
Kebetulan, pada 9 Ogos, projek East Coast Rail Link (ECRL) dilancarkan di Kuantan. Ini mencetuskan spekulasi oleh ramai pihak bahawa ‘dana yang sepatutnya diterima pada Julai 2017’ seperti yang dinyatakan 1MDB di atas, datang daripada cukong-cukong ECRL, dari Tanah Besar China.
Sekiranya benar, maka pastinya cukong-cukong yang sama akan menyalurkan baki yang perlu dibayar 1MDB pada Disember nanti. Ia akan perlu membayar, jika ia tidak mahu pelaburan ECRL hangus begitu sahaja. Namun cukong-cukong ini juga pastinya memerlukan jaminan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kekal berada di takhta Putrajaya.
Najib Razak mesti mengadakan pilihanraya sebelum cukong ECRL boleh membantu melangsaikan bayaran kedua IPIC Disember nanti. Najib Razak perlu kekal sebagai Perdana Menteri, kerana projek ECRL pastinya akan dibakulsampahkan sekiranya kerajaan bertukar tangan.
Pertemuan dengan Trump
Hujah kedua adalah berkaitan pertemuan Najib Razak dengan presiden berkulit jingga pertama Amerika Syarikat, Donald Trump, satu dua hari lagi.
Tidak susah untuk kita meneka tujuan pertemuan Najib dan Trump. Secara geo-politiknya, ada banyak jangkaan dan teori yang boleh kita layan. Tetapi dari segi politik Malaysia, pertemuan Najib dan Trump hanyalah untuk sekeping gambar.
Najib malah tidak perlu duduk minum kopi lama-lama, atau bermain golf seharian bersama sang presiden. Cukup sekadar keduanya bertemu di koridor Rumah Putih, berjabat tangan, senyum untuk beberapa saat, bertanya khabar; ‘Dah makan belum? Isteri sihat?’ dan kemudian pulang ke rumah masing-masing.
Sekeping gambar itu akan dijaja seluruh negara di muka depan akhbar-akhbar utama, dan lantas mencairkan kempen anti kleptokrasi parti-parti HARAPAN berbekalkan tindakan undang-undang Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat terhadap aset-aset terkait dana 1MDB yang disonglap oleh anasir-anasir di negara itu untuk membeli kapal, kondo dan barang kemas serta intan berlian.
Najib Razak dan Trump malah tidak akan mengadakan sidang media pun, kerana Najib tidak akan berani berhadapan soalan wartawan Wall Street Journal, New York Times dan Washington Post.
Dalam negara sendiri bolehlah beliau mengelak soalan media. Wartawan Amerika tidak boleh diugut-ugut dan digoyang. Mereka tidak peduli.
Operator politik Najib Razak hanya akan menayangkan rakaman pertemuan itu di semua saluran media dan berkata, ‘Lihatlah Perdana Menteri kita, tidak disentuh kerajaan Amerika. Ini membuktikan beliau tidak bersalah, dan dakwaan pembangkang tentang 1MDB dan DOJ itu semua fitnah belaka’.
Sentimen rakyat akan diukur kemudiannya, dan Najib Razak tidak akan teragak-agak untuk mengadakan pilihanraya sebaik sahaja beliau merasakan cukup yakin bahawa kempen HARAPAN dengan modal tindakan undang-undang DOJ itu sudah cair dan tidak ampuh lagi.
HARAPAN belum tersusun
Hujah ketiga ialah longgarnya integriti organisasi HARAPAN.
Percakaran antara pimpinan parti-parti komponen HARAPAN, selain pergelutan dalam pembahagian kerusi serta ketidaktentuan nasib pendaftaran gabungan tersebut dan keadaan DAP yang masih bagai digantung tidak bertali oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), adalah kombinasi yang cukup mantap untuk menggagalkan usaha HARAPAN menawan Putrajaya.
Najib Razak sendiri boleh sahaja bertindak menggagalkan pendaftaran HARAPAN sebagai sebuah gabungan politik. Kalau pun anasir-anasir jahat di dalam parti-parti DAP, PKR, Amanah dan PPBM tidak menggagalkannya sendiri.
Pertengkaran terbuka PKR misalnya, menggugat integriti struktur parti itu, dan seterusnya HARAPAN sendiri. Ketidaktentuan tentang PAS juga turut tidak membantu. Malah Najib Razak juga pastinya tahu bagaimana mencatur politik PAS dan HARAPAN bagi menggagalkan usaha parti-parti pembangkang.
Mengetahui titik lemah itu, dan menekannya secara strategik, adalah kekuatan yang dimiliki Najib Razak, dan pastinya boleh digunakan secara kalkulatif untuk menghancurkan sahaja lawannya.
Maka Najib tidak perlu resah, dan boleh mengadakan pilihanraya pada bila-bila masa beliau mahu.
Duit sudah turun
Hujah keempat adalah sedikit spekulatif. Namun khabar angin mengatakan bahawa Ketua-ketua Bahagian UMNO telah bertemu di ibu pejabat parti itu sebelum Aidiladha. Pertemuan itu tidak lain bertujuan untuk membahagi-bahagi peruntukan kempen pilihanraya.
Peruntukan tersebut pastinya tidak akan bertahan sehingga tahun hadapan. Perangai orang UMNO ni tahu saja lah.
Maka bacaan saya begitu. Satu-satunya peluang yang ada jika ia mahu dilakukan tahun ini ialah pada bulan November, sebaik sahaja semua jemaah haji pulang dari Mekah, sebaik sahaja musim peperiksaan selesai, sebaik sahaja umat Melayu di Pantai Timur dilanda tengkujuh dan menanti bantuan daripada kerajaan.
Mungkin juga Najib Razak akan menanti musim belanjawan untuk menabur janji-janji manis sekiranya UMNO dan Barisan Nasional dikekalkan dalam kerajaan. Ini termasuklah janjinya kepada PAS untuk memberi ruang kepada pindaan Akta 355, sebagai balasan kepada kerja memecahkan undi dan sokongan umat Melayu.
Najib Razak berada pada keadaan yang paling yakin dan kuat. Mustahil beliau tidak berani mengadakan pilihanraya secepat mungkin.
Kecuali lah kalau beliau yakin dan percaya bahawa meski beliau berani mengadakan pilihanraya, tidak ada jaminan bahawa beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri.