Kontroversi benci anjing: Politik agama-perkauman punca utama
Larangan mengadakan sentuhan fizikal dengan anjing ke atas orang Islam, seperti yang dipromosikan pihak tertentu di Malaysia, bukan sebab agama semata-mata kerana ia berkaitan dengan politik identiti di negara ini, kata pakar perundangan Islam.
Pensyarah kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Maszlee Malik dipetik South China Morning Post hari ini sebagai berkata kejadian orang Islam dikritik kerana dilihat memegang anjing dipolitikkan untuk “tujuan sektarian, perkauman dan politik”.
“Malang sekali masyarakat saling prejudis kerana kegagalan sistem pendidikan kita merapatkan hubungan antara rakyat – akibat polarisasi kaum yang diinstitusikan.
“Binatang tertentu, simbol tertentu, dan mungkin sikap atau penampilan dikaitkan dengan kaum, etnik dan agama tertentu,” katanya menurut laporan itu.
“Dari situ bagi orang Melayu sekarang, babi dan anjing dikaitkan dengan orang bukan Melayu. Mengikut politik identiti, kalau kamu Melayu tetapi pegang anjing, atau pelihara anjing, atau cuba memelihara anjing sebagai binatang kesayangan, kamu tak cukup Melayu, dan tak cukup Islam,” tambahnya.
“Ia bukan isu agama semata-mata. Agama hanya mengukuhkan politik identiti.”
Awal bulan ini, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Otman Mustapha mengkritik Nurhanizah Abdul Rahman yang mencetuskan kegemparan apabila muncul berita melaporkan beliau memelihara seekor anjing terbiar bernama “Bubu”.
Othman menggesa orang Islam supaya tidak memelihara anjing sebagai binatang kesayangan, mengatakan tindakan Nurhanizah itu melanggar ajaran Islam.
Kenyataan beliau itu selepas beberapa kejadian kontroversi lain di mana orang Islam ditegur dan dikritik kerana menyentuh anjing.
Pada Oktober 2014, aktivis Syed Azmi Alhabsi dipaksa meminta maaf selepas dilaporkan menerima ancaman kerana menganjurkan acara “I want to touch a dog” (saya mahu sentuh seekor anjing) untuk orang Islam.
Pada Jun 2015, pelakon Nur Faruza mencetuskan gempar apabila pengikut media sosial menghentam beliau selepas memuatnaik gambarnya bersama seekor anjing.
Laporan SCMP turut memetik peguam syariah Nizam Bashir sebagai berkata penting untuk meraikan kepelbagaian pemikiran walaupun ada usaha untuk menjenamakan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengikut mazhab Shafi’i yang melibat anjing tidak bersih.
“Secara tradisinya, sarjana Islam bertolak-ansur dengan hakikat orang lain mungkin ada pandangan berbeza dalam isu tertentu.
“Apabila kita cuba menguatkuasakan satu jenis pandangan, kita akan kehilangan tradisi dan kesarjanaan yang kata, dan bagi saya kehilangan itu bukan sesuatu yang bagus,” katanya menurut laporan itu.
“Berfikiran sempit hanya menguatkan prejudis yang orang lain dengan pandangan berbeza mesti menyimpang,” tambahnya.
Laporan itu turut memetik Derek Kok, seorang penganalisis di badan pemikir Penyelidikan IMAN yang berkata isu dengan anjing yang terutama bagi Malaysia kerana identiti politik berbilang kaum di negara ini.
“Ia bukan perang budaya antara Islam konservatif dan liberal tetapi mencerminkan ketiadaan kepelbagaian pemikiran teologi kerana hanya satu sekolah pemikiran yang dianggap betul oleh kerajaan walaupun terdapat perbezaan dalam pelbagai mazhab Islam,” katanya.