Usul putus tahaluf siyasi dengan PKR lulus sebulat suara
Seperti dijangka, muktamar induk PAS meluluskan usul memutuskan kerjasama politik dengan PKR.
Di muktamar ke-63 PAS petang tadi, usul bersama 21 bahagian PAS, serta Dewan Ulama dan Dewan Pemuda, diluluskan secara sebulat suara oleh perwakilan dengan laungan takbir.
Dalam usul yang dibentangkan wakil Dewan Ulama PAS Zulkifli Ismail, PKR dituduh melanggar syarat “tahaluf siyasi” seperti menyokong Amanah dan menentang PAS dalam pilihan raya, dan dilihat bersama DAP menentang keras usul Hadi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355.
PKR juga dituduh bersikap biadab dan celupar terhadap PAS “sekaligus tindakan mereka yang tidak menunjukkan setiakawan”.
“Tahaluf mestilah dijalankan sebagai wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam,” kata Zulkifli, memetik antara syarat kerjasama yang ditetapkan Majlis Syura Ulama.
“Kini terdapat banyak pelanggaran syarat berlaku disepanjang tempoh berlangsungnya ‘tahaluf siyasi’ antara PAS dan PKR.
“Maka kami mengusulkan supaya ‘tahaluf siyasi’ antara PAS dan PKR diputuskan tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulamak menurut peruntukan perlembagaan PAS.”
Dengan sokongan ini, usul seterusnya diangkat ke Majlis Syura Ulama untuk diputuskan secara muktamad.
Sekiranya kedua-dua badan tertinggi itu meluluskan dan melaksanakan usul tersebut, ia mungkin menyaksikan pertembungan antara PAS dan PKR pada pilihan raya umum akan datang, terutamanya di Selangor yang kerajaan negerinya turut dianggotai PAS, bersama DAP.
Seiring dengan usul ini, perwakilan turut mengangkat usul menggesa kepimpinan parti mempertimbangkan untuk meletakkan calon di semua kerusi PKR pada PRU nanti, sekaligus memastikan pertandingan 3 penjuru, yang dipercayai akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.
Usul ini dibawa secara berasingan dengan usul memutuskan kerjasama dengan PKR. Ia membuka ruang kepada PKR untuk membuat keputusan yang memihak kepada PAS, yang mahukan PKR dan PPBM untuk menyertai blok ketiga di bawah pimpinannya.
“Percaturan politik yang dilakukan oleh pihak Pakatan Harapan secara langsung telah membabitkan pihak PKR, sedangkan hingga saat ini PAS belum memutuskan hubungan ‘tahaluf siyasi’ dengan PKR,” kata usul yang diluluskan tanpa bahas itu.
“Maka, PAS kawasan Kota Raja dan Kuala Terengganu mengusulkan supaya PAS Pusat membuat satu kajian mendalam dan mempertimbangkan supaya diangkat segera ke Majlis Syura Ulama bagi mendapatkan kelulusan bahawa PAS akan meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi oleh PKR sekiranya tiada persefahaman politik pilihan raya dicapai sehingga berlakunya PRU ke 14.”