Dalam diam tiba-tiba meletup pula khabar dari kampung halaman saya kononnya tarif air di negeri Pulau Pinang telah dinaikkan oleh kerajaan negeri pimpinan DAP. Aparat propaganda Barisan Nasional pun gigih memukul canang dengan memanipulasi kata kunci itu, ‘tarif air naik’ dan ‘DAP’.
Untung besar aparat propaganda Barisan Nasional kerana umat negara ini kurang rajin membaca. Apatah lagi di zaman media sosial ini, pakai baca tajuk pun sudah cukup. Serupa tak payah tulis berita, tulis tajuk saja pun tak apa.
Mari sini abang jelaskan. Tarif air untuk pengguna domestik di Pulau Pinang kekal dan tidak berubah. Malah, tarif air Pulau Pinang adalah yang paling rendah di seluruh negara pada kadar purata 32 sen untuk 35,000 liter satu pengguna, setiap bulan.
Di Johor, kadar purata ini ialah RM1.32. Lebih empat kali ganda.
Apa jadi bila tarif air murah sampai tahap ini? Bayar bil air pun tak terasa; maka membazirlah kita sekaliannya. Kalau boleh pasang tab mandi dalam rumah, orang Pulau Pinang akan pasang dua tiga tab, buat berendam dalam air sabun.
Namun pembaziran sedemikian (atau dalam bahasa lebih lembut, penggunaan air yang terlalu tinggi) adalah tidak mapan dari segi alam sekitar mahupun dari sudut kewangan. Malah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang terpaksa memberi subsidi sebanyak RM91 juta tahun lalu demi mengekalkan tarif air domestik paling rendah dalam negara.
Di tengah-tengah kekalutan tentang dakwaan ‘tarif air naik’ ini; Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebenarnya berdepan satu lagi kritikan daripada badan-badan bukan kerajaan kerana didakwa tidak serius tentang konservasi air dan memulihara alam sekitar. Antara cadangan mereka ialah supaya menggandakan tarif air domestik sehingga dua atau tiga kali ganda.
Cadangan tersebut tidak diterima kerajaan negeri kerana tidak mahu membebankan rakyat Pulau Mutiara. Sebaliknya apa yang dilakukan ialah meningkatkan penalti atau denda terhadap mereka yang membazir dan menggunakan air seolah-olah memelihara ikan paus di dalam rumah.
Buat masa ini, surcaj bagi penggunaan air secara berlebihan bagi pengguna domestik ialah 48 sen bagi setiap 1,000 liter yang melebihi takat purata 35,000 liter.
Surcaj ini akan dinaikkan kepada RM1 dengan harapan ia akan mengurangkan tabiat membazir air dalam kalangan pengguna domestik yang perasan mereka mempunyai kolam menternak badak.
Tetapi bagi isi rumah yang mempunyai lebih daripada lapan orang satu rumah diberi diskaun 60 peratus ke atas surcaj tersebut. Kerajaan Negeri pun faham, kalau pun tidak ada kolam ikan lumba-lumba di rumah, mungkin ada terlalu ramai anak yang mandi sehari tiga kali (contohnya). Maka diskaun diberikan.
Malah sebenarnya kurang 1,000 isi rumah di seluruh Pulau Pinang yang mendapat diskaun ini kerana tidak banyak pun isi rumah dengan kapasiti lapan orang atau lebih.
Jadi pengajaran kepada kita yang kuat meloncat dengan propaganda Barisan Nasional ialah:
- Jangan setakat baca tajuk berita. Dah la baca pun berita propaganda, malas pula baca keseluruhan cerita.
- Jangan bela ikan paus di rumah. Bela ikan emas seekor, dalam balang.
- Jangan membazir air lah. Aduhai.
Semoga Pulau Pinang terus menjadi negeri yang berjaya mengekalkan tarif air rendah, selain mengekalkan rekod tiada catuan tanpa pembaziran. Segalanya bermula dengan anda.