Deklarasi Rakyat akan digerakkan semula – Khairuddin Abu Hassan
Koordinator Deklarasi Rakyat Khairuddin Abu Hassan berkata, pejuang kebenaran yang telah meninggalkan parti politik atau tidak sebulu dengan kepimpinan sedia ada tidak wajar menyertai semula Umno BN dan meninggalkan perjuangan menentang rejim kleptokrasi Najib Razak.
Katanya, para pejuang kebenaran itu digesa agar menyertai gerakan Deklarasi Rakyat yang tidak cenderung kepada mana-mana parti politik sebagai kekuatan sampingan dalam menewaskan PM Najib pada pilihan raya umum akan datang.
“Saya merayu kepada sesiapa saja bekas pemimpin ataupun ahli parti-parti yang keluar dari pertubuhan politik agar jangan sama sekali tinggalkan saf perjuangan rakyat Malaysia.
“Pintu Deklarasi Rakyat terbuka luas untuk semua bekas-bekas pejuang ini bagi meneruskan perjuangan ke arah menumbangkan kerajaan kleptokrasi yang sedang dipimpin oleh perdana menteri paling korup melalui proses pilihan raya .
“Kepada semua para sahabat yang keluar dan meninggalkan mana-mana parti politik tolonglah jangan sama sekali pulang ke pangkuan Umno atau BN.
“Kita masih ada platform Deklarasi Rakyat yang ‘non partisan’ untuk meneruskan wadah perjuangan bagi menegakkan keadilan, lawan rasuah secara habis-habisan, memperbetulkan institusi-institusi kerajaan dan seterusnya selamatkan Malaysia demi kesejahteraan keseluruhan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Khairuddin lagi, beliau dan teman-teman akan menyusun semula platform Deklarasi Rakyat dalam masa terdekat untuk kembali aktif sebagai gerakan pendesak akar umbi ke arah perubahan politik total.
“Insya-Allah dalam masa terdekat ini saya serta rakan-rakan yang lain akan susun semula struktur Deklarasi Rakyat di negeri-negeri
“Platform Deklarasi Rakyat ini akan kita jadikan lebih selesa kepada rakyat atas pagar di peringkat akar umbi kerana badan ini bukan berstruktur politik.
“Program-program di peringkat akar umbi juga akan disusun atur secara sistematik, berterusan serta menyeluruh.
Sesiapa saja rakyat atau mana-mana anggota politik boleh bersama-sama sumbangkan tenaga untuk menjayakan semula teras perjuangan asal Deklarasi Rakyat,” katanya.