‘Ubah kerajaan untuk harga minyak lebih murah’
Walaupun harga minyak di pasaran dunia telah turun dari AS$115.65 setong pada 4 September 2013 hingga ke paras sekitar AS$52 setong pada masa kini namun harga minyak di Malaysia masih berada pada paras yang tinggi iaitu lebih dari RM2.00 seliter untuk minyak RON95.
Pada awal September 2013, harga minyak RON95 ialah RM2.10 seliter tetapi harus diingat pada masa itu, harga minyak di pasaran dunia iaitu Brent crude lebih AS$100 setong. Sekarang harga minyak sudah turun 50 peratus tetapi rakyat di Malaysia masih terpaksa bayar harga tinggi tanpa subsidi.
Diminta mengulas hal itu, Jameson Tan, seorang pelabur asing berkata ‘kehilangan subsidi minyak’ menunjukkan pengurusan ekonomi dan kewangan Malaysia mengalami masalah sehingga kerajaan tidak cukup wang untuk memberi subsidi biar pun negara adalah pengeluar minyak.
“Secara terus-terang, saya berkata rakyat perlu mengubah kerajaan supaya dapat menikmati faedah dari bumi Malaysia yang kaya dengan pelbagai jenis sumber hasil. Sudah jelas kerajaan Malaysia hari ini gagal mengurus-tadbir dengan baik,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau juga merakamkan kekecewaan dengan situasi politik terkini di mana parti DAP seringkali dilabel sebagai anti-Melayu dan anti-Islam padahal langsung tiada bukti bahawa parti itu mengamalkan polisi tersebut. Jameson berpendapat politik Malaysia terlalu berunsur sentimen perkauman dan oleh itu, ramai pelabur asing dari negara barat tidak berapa gemar melabur.
“Saya amat tidak faham mengapa rakyat Malaysia tidak berani mengubah kerajaan. Mereka patut beri peluang kepada pihak yang baru untuk mentadbir kerana pihak baru mempunyai kemampuan dan akan melakukan pentadbiran lebih baik daripada apa yang ada sekarang.
“Parti yang sama tidak harus mentadbir begitu lama sebab mereka akan menjadi angkuh. Kalau Pakatan Harapan menang, saya ramal pasaran (Bursa Saham) akan menerima kejutan dan akan jatuh sekejap sebelum naik semula dengan kadar yang pantas kerana ramai pelabur asing akan datang semula ke Malaysia.
“Saya juga berharap Pilihanraya Umum akan diadakan pada bulan September tahun ini seperti yang telah dijangka ramai sebab amat susah untuk kita buat perancangan kewangan dengan tarikh pilihan raya seperti satu permainan,” katanya lagi.