Mengapakah tentera Malaysia masih di Arab Saudi? – Raja Bahrin
Raja Bahrin Shah mendakwa Putrajaya berbohong tentang penempatan tentera Malaysia di Arab Saudi dan bersekongkol melakukan serangan terhadap Yaman bersama sekutunya dari Amerika Syarikat.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu, beliau hairan dengan putar belit fakta oleh Kementerian Pertahanan Malaysia berkenaan kes ini.
“Alasan tentera Malaysia berada di Arab Saudi untuk bersedia memindahkan rakyat kita tidak masuk akal kerana satu operasi pemindahan pelajar dan rakyat kita dilakukan lebih setahun lalu.
“Lagi pun, situasi tegang di Yaman sudah berlarutan begitu lama, sepatutnya arahan rasmi perlu dikeluarkan supaya rakyat dibawa pulang dan kerajaan tidak lagi bertanggungjawab atas keselamatan mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Raja Bahrin juga berkata, negara lain yang mempunyai pelajar dan rakyat di Yaman tidak meletakkan tentera mereka di Arab Saudi dengan belanja yang begitu besar.
“Berapa lama lagi kita mahu bertindak membawa rakyat kita keluar sedangkan laporan badan antarabangsa berkata 18 juta rakyat dan 2.1 juta kanak-kanak menghadapi kebuluran sana.
“Alasan tentera kita masih di sana kerana latihan ketenteraan Northern Thunder di Arab Saudi yang berakhir pada Februari 2016 juga tidak masuk akal.”
Kata Raja Bahrin, 20 negara Arab, Afrika dan serantau yang mengambil bahagian sudah pulang setahun lalu.
“Mengapa tentera kita masih disana?” soalnya sambil menambah Indonesia, negara dengan umat Islam teramai di dunia, pun tidak mengambil bahagian.
Kenyataan Kementerian Pertahanan Malaysia yang disiarkan New Straits Time pada 4 Mac lalu melaporkan tuduhan di atas tidak benar, berniat jahat, tidak berasas dan dengan niat tidak baik untuk memburukan nama Kementerian Pertahanan, angkatan tentera dan Malaysia.
“Kenyataan kementerian hanya cubaan terdesak untuk menafikan situasi yang tidak boleh diselindungi lagi.
“Kenapa kementerian tidak mengambil tindakan ke atas semua pihak termasuk badan antarabangsa yang dikatakan berniat jahat dengan tuduhan tersebut jika ia tidak benar?”
Raja Bahrin berkata beliau menunggu jawapan daripada Menteri Pertahanan.
“Saya menimbulkan isu ini kerana tidak bersetuju dengan pembunuhan begitu ramai rakyat Yaman yang tidak berdosa, ia adalah jenayah perang.
“Ia juga membahayakan nyawa rakyat Malaysia yang masih berada di rantau tersebut.”