KUALA LUMPUR, 5 MAC: Tuduhan konco-konco UMNO kononnya DAP akan menutup Felda jika Pakatan Harapan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membentuk kerajaan adalah satu penipuan yang tidak berasas.
Ia kerana DAP tidak akan menutup Felda jika pembangkang menang dalam pilihan raya akan datang.
Sebaliknya, DAP mahu sebuah program khas dilaksanakan agar Felda dapat diperkukuh supaya peneroka dan generasi baru Felda mendapat keadilan dan kemakmuran, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
“Tuduhan kononnya DAP akan menutup semua agensi membantu bumiputera termasuklah Felda hanya tohmahan yang tidak benar sama sekali.
“Sejak kebelakangan ini politik ketakutan dan penipuan semakin diperhebat oleh sesetengah pihak.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri terlibat dalam siri memfitnah DAP dengan menuduh kita dengan penipuan tak berasas seperti itu,” katanya semasa berucap di Malam Semarak Kasih bersama Solidariti Wira Mazlan Aliman anjuran Amanah, malam tadi.
Beliau merujuk kepada ucapan Najib ketika Perhimpunan Agung UMNO pada 30 November lalu yang menuduh kononnya semua agensi membantu bumiputera seperti Felda, MARA, RISDA dan FELCRA akan lenyap jika Pakatan Harapan menawan Putrajaya. – Roketkini.com