PKR akan sokong calon Amanah di Sg. Besar, K. Kangsar – Sumber
PKR dikatakan telah mengambil keputusan tidak bertanding di Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar dengan sedia memberi peluang kepada parti baru di gabungan Pakatan Harapan (PH), Parti Amanah Negara (Amanah).
Menurut, satu sumber dalaman PKR mengesahkan bahawa parti tersebut bakal akan sokong calon daripada Amanah dalam PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan berlansung pada 18 Jun ini.
“Kami telahpun mendapat arahan supaya bersiap sedia menghadapi PRK, bekerjasama dengan Amanah,” kata sumber tersebut kepada Berita Daily.
“Ya. Kami diberitahu bahawa pucuk pimpinan parti akan bantu Amanah pada PRK kali ini. Dan kami akan turun ke kedua-dua kawasan parlimen itu untuk berkempen bagi pihak Amanah,” tambah sumber yang enggan mendedahkan namanya.
Jelasnya lagi, perbincangan dengan PAS tidak berjaya selepas parti Islam itu berkeras untuk mencalonkan wakil pembangkang dari kalangan parti itu.
“Tetapi, nampaknya pucuk pimpinan PH tidak begitu percaya dengan PAS yang kini khususnya Presiden PAS Abdul Hadi Awang lebih mesra dengan Umno berbanding PH,” katanya lagi.
Ketika ditanya mengapa PKR tidak bertanding di Sungai Besar, sumber tersebut berkata bahawa PKR sedia memberi ruang kepada Amanah demi semangat muafakat.
“Pada kami (PKR), memang mempunyai peluang untuk memenangi di PRK Sungai Besar, tetapi ini bukan soal PKR atau Amanah tetapi Pakatan Harapan,” katanya.
“Dengan adanya PKR, DAP dan Amanah peluang PH untuk menawan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar lebih cerah berbanding PAS,” ujarnya.
Katanya, keputusan meletakkan calon Amanah di kedua-dua kerusi parlimen akan diumumkan secara rasmi pucuk pimpinan dalam masa terdekat.