Pemilihan Mastura Mohd Yazid, balu Wan Khairil Wan Ahmad sebagai calon BN di Kuala Kangsar benar-benar suatu pemilihan yang gila dan tidak masuk akal serta hanya berlaku di era Najib Razak sahaja.
Di mana agaknya UMNO meletakkan hukum Islam di sebalik keputusan memilih Mastura, seorang balu yang masih dalam edah, sebagai calonnya?
Tidakkah wanita yang baru kematian suami ada tempoh edahnya yang tertentu di mana mereka tidak boleh keluar rumah, kecuali untuk bekerja atau atas urusan lain yang dikategorikan sebagai darurat sahaja demi menjaga kehormatan mereka?
Wanita yang edah juga tidak dibenarkan menziarahi kematian orang lain, pergi ke majlis kenduri, berhias, memakai barang kemas dan sebagainya sepanjang dalam tempoh edah tersebut.
Dari segi budaya pula, edah turut dianggap tempoh berkabung sebagai tanda sedih atas kematian suami.
Jika wanita yang dalam edah tidak dibenarkan atau haram keluar rumah dan sebagainya kecuali darurat, jadi bagaimanakah Mastura yang pastinya akan keluar lebih daripada 12 sehari sepanjang tempoh kempen nanti sedangkan baru saja kematian suami pada 5 April lalu?
Yang Mastura pun satu hal, kenapa ghairah sama untuk dipilih sebagai calon BN?
Tidak simpatikah beliau kepada arwah suaminya di dalam kubur di mana ketika tanah kuburnya masih lagi merah, beliau bukan saja melanggar hukum Islam yang wajib dipatuhi, malah akan selalu meninggalkan rumah semata-mata untuk bergelar Yang Berhormat, sama seperti jawatan suaminya dahulu?
Dalam hal ini, di manakah ulama-ulama dalam UMNO, apakah mereka sudah jadi bisu semata-mata bersetuju kerana melihat pemilihan Mastura mampu meraih simpati dan seterusnya membawa kemenangan kepada BN?
Apakah UMNO sudah benar-benar tiada calon lain yang lebih sesuai untuk diketengahkan sehingga balu yang dalam edah dan sepatutnya lebih sesuai duduk di rumah, dipilih sebagai calon?
Dalam maksud yang lebih jelas, balu yang dalam tempoh edah dikira haram bertanding kerana ia secara rela hati melanggar peraturan-peraturan edah itu sendiri seperti keluar rumah bukan kerana darurat, menghias diri, memakai barang kemas serta terlibat dengan percampuran yang lebih terbuka dengan kaum lelaki yang bukan muhrim.
Di dalam Al Quran, perkara mengenai wanita dalam edah ini disebut dalam Surah Al Baqarah ayat 228.
Sekali lagi, pemilihan Mastura ini ialah keputusan paling gila yang pernah dibuat oleh UMNO. Terbukti UMNO menjadi parti yang "sakit" sekarang ini.
Pemilihan beliau sebagai calon adalah haram, bersetuju menerima sebagai calon juga haram, bahkan mengundinya boleh dikira sama hukumnya.
Kalau pun benar ingin sangat kepada kemenangan dan menjaga air muka Najib, apakah hukum Tuhan mahu diengkari?
Jika di Sungai Besar, seorang Adun dipilih bertanding untuk kerusi Parlimen sudah dianggap aneh, di Kuala Kangsar ini kegilaan dalam membuat memilih calon sudah sampai ke tahap tiada taranya lagi.
Lebih mendukacitakan, selain ramai tokoh-tokoh agama dan mufti dalam UMNO, pemilihan Mastura sebagai calon itu pula diumumkan oleh Zahid Hamidi, seorang yang diketahui ada asas pengetahuan agamanya. (SH 28/05/2016).