Kerjasama Umno – Pas: PKR akan pantau – Rafizi
PKR sedang memantau sejauh mana Umno akan menghulurkan tangannya kepada PAS dalam konteks kerjasama masa depan kedua-dua parti itu.
“Kami pantau segalanya,” kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli selepas pelancaran Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.
Ditanya kesan tindakan Umno itu kepada PAS, Rafizi bagaimanapun berkata semua itu akan diputuskan apabila tiba masanya.
Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan dasar di perhimpunan agung Umno pada 10 Disember lalu menghulurkan tali silaturahim kepada PAS untuk sama-sama membangunkan negara mengikut syariat Islam.
Najib, yang juga perdana menteri melahirkan rasa gembira kerana PAS tidak lagi bersama pembangkang selepas “disepak dan diterajang keluar”.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula tidak menyatakan pendirian dengan jelas tetapi berkata parti itu berlapang dada dan terbuka terhadap “hasrat perpaduan dalam bermasyarakat berteraskan syariat Allah SWT dengan mana-mana pihak”.
PAS juga menegaskan komited dengan kerjasama politik dengan PKR selepas memutuskan hubungan dengan DAP.