Lebih setahun, mangsa banjir Kelantan dakwa diperlakukan macam bola
Ketiadaan tanah dan tinggal secara setinggan sebelum ini menyebabkan mangsa banjir besar 2014 di Kelantan sukar untuk mendapatkan kediaman baru.
Jika mempunyai tanah sendiri, rumah yang dihanyutkan bencana itu lebih mudah diganti dengan kediaman baru melalui sumbangan pelbagai pihak.
“Kami rasa macam ‘bola’, ikut orang nak sepak.
“Sekejap ke kanan, kemudian ke kiri,” kata seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ju, 40-an.
Berkeras tidak mahu meninggalkan khemah yang dihuni sejak awal tahun ini, Kak Ju bersama seuami dan tiga anaknya lebih selesa meneruskan kehidupan di penempatan sementara yang disediakan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), di Bandar Utama, Gua Musang.
Walaupun diarahkan untuk berpindah ke pusat pemindahan di kem Program latihan Khidmat Negara (PLKN) Taman Etno Botani, Gua Musang, mereka lebih rela tinggal di dalam khemah.
Menurutnya, dengan berlindung di khemah tersebut bukanlan niat mereka untuk meraih simpati daripada sesiapa tetapi sudah selesa berbanding jika berpindah ke pusat penempatan di Kem PLKN tersebut.
“Di sini sudah tidak ramai orang, di sana (kem PLKN) sudah bersesak-sesak. Saya lebih selesa di sini.
“Kalau pindah ke sana, lepas ini kena pindah lagi apabila kem dibuka untuk kemasukan peserta PLKN,” kata Kak Ju ketika dikunjungi Malaysiakini baru-baru ini.
Tinjauan mendapati, kira-kira lima keluarga masih berlindung di khemah yang sebelum ini menjadi pusat pemindahan awal mangsa banjir di daerah itu.
Apa yang ditunggu mereka adalah janji dari pelbagai pihak untuk sumbangan rumah.
“Banyak orang datang, kami sendiri keliru sebab ramai sangat yang bercakap nak bagi rumah. sejak awal kami dipindahkan lagi.
“Setakat ini belum ada jaminan yang jelas, di mana rumah di bina dan bila akan siap semuanya seperti khabar angin,” ujarnya yang juga seorang suri rumah.
Setiap hari, Kak Ju dan penghuni lain terpaksa menyediakan sendiri keperluan makan dan minum mereka sekeluarga selepas pihak berwajib tidak lagi menyediakan keperluan itu.
Katanya, pada awal bencana yang melanda negeri tanah serendah sekebun bunga itu pelbagai pihak tampil menghulurkan sumbangan keperluan kepada mangsa terlibat.
Namun kini, apa yang diharapkan mereka hanya sebuah rumah untuk meneruskan kehidupan seperti keluarga lain.
“Kami tak mampu untuk menyewa rumah, rumah sewa sekarang pun sudah mahal. Sebelum ini ada NGO yang mahu sewakan rumah kepada saya, tetapi tidak jadi,” katanya.
Seorang lagi penghuni khemah yang mahu dikenali sebagai Abang Lah, 50-an, berkata, dia sekeluarga masih berbelah bagi sama ada mahu berpindah ke kem PLKN atau tidak.
“Suasana di sini lebih memudahkan kami untuk keluar berniaga. Kalau ke kem bilik yang disediakan agak terhad, susah saya nak simpan barang-barang niaga.
“Nak pindah ke sana pun satu hal sebab kena angkut banyak barang, lepas ke sana pun mungkin kena pindah pula,” katanya yang berniaga pisang goreng berhampiran pekan Gua Musang.
Bagaimanapun menurutnya, jika tiada pilihan mereka terpaksa juga keluar daripada khemah tersebut dan mengharapkan pihak berwajib dapat mempercepatkan pemberian rumah.
“Orang lain yang ada tanah sendiri lebih mudah dapat sumbangan rumah daripada pelbagai pihak seperti NGO, orang perseorangan, syarikat swasta dan pihak kerajaan.
“Kami yang duduk setinggan ini entah bila dapat rasa tinggal di rumah baru,” katanya yang risau untuk bercakap kepada media selepas mendakwa sebelum ini kenyataan mereka disalah ertikan.
Banjir yang melanda hampir setahun lalu dianggap yang paling besar melanda negeri Cik Siti Wan Kembang itu selepas kejadian pada 1927 dan 1967.
Jajahan Kuala Krai menjadi tempat paling teruk dilanda bah yang menyebabkan 1,927 rumah musnah dihanyut arus deras.
Taburan hujan tertinggi yang direkodkan iaitu 1,295mm selama tiga hari berturut-turut di Gua Musang, Kelantan, bersamaan dengan taburan hujan untuk 64 hari.
Kini, lebih 100 keluarga yang terdiri daripada penduduk setinggan dilaporkan tidak mempunyai kediaman walaupun terdapat sebahagian daripada mereka telah mendapat rumah baru.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan sisi keperitan mangsa-mangsa banjir besar itu belum surut dan bimbang tragedi itu akan berulang, terus bergetar dalam denyut nadi mereka menjelang musim tengkujuh kali ini.
Apakah kesudahan nasib mereka? Dan apakah komitmen pihak berwajib dalam membela kebajikan rakyat yang di timpa musibah dan ujian sebesar itu?
Persoalan ini belum terjawab.