Kerajaan dicabar anjurkan debat terbuka TPPA – Wong Chen
Isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak boleh dirahsiakan daripada orang awam.
Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen mendesak kerajaan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri agar mengadakan perdebatan atau forum mengenai isu berkenaan di depan umum.
Menurutnya, kerajaan sebelum ini hanya memberi penerangan sepihak sahaja dan rakyat tidak boleh bertanya. Kata Wong, cara itu tidak membantu mewujudkan ketelusan sebaliknya rakyat meragui kerajaan sedang merahsiakan isi kandungan perjanjian berkenaan.
“Kerajaan ada cakap mereka buat penerangan isu TPPA, tetapi ini bukan satu perdebatan terbuka. Ia hanya menerangkan kepada satu pihak sahaja. Kita nak kerajaan adakan forum terbuka dan isu ini dibincangkan di depan umum.
“Sebab kita ragui apa yang diceritakan itu, betul atau pun tidak, tak seimbang dengan apa yang sepatutnya diberitahu,” Katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk seri Mustapa Mohamad sebelum ini berkata pihaknya akan menggandakan sesi penerangan mengenai TPPA kepada golongan akademik, profesional, pelajar institusi pengajian tinggi, usahawan dan penjawat awam.
Katanya tokoh akademik dan industri juga akan diminta membantu kerajaan memberi penerangan mengenai perjanjian itu kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Wong Chen mahu Malaysia mencontohi negara-negara lain yang mengadakan perdebatan terbuka dalam membincangkan isu TPPA, seperti di Jepun.
“Di Jepun, mereka bincang isu ini kerana lobi besar mereka terhadap pertanian dan petani dapat memahami impak TPPA kepada mereka, dan itu wajar diikuti oleh negara kita,” katanya.