BAGAN, 23 OGOS: Pimpinan UMNO sudah hilang akal kerana bersikap “desperado” apabila pemimpinnya seperti Ketua Bahagian UMNO Sri Gading, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, membuat fitnah jahat dan tidak masuk akal kononnya DAP dibiayai Yahudi.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pihak DAP akan membuat laporan polis mendesak tindakan diambil ke atas tuduhan fitnah yang tidak berasas itu.
Katanya, Abdul Aziz yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan sanggup memfitnah semata-mata mahu menutup skandal RM42 bilion 1MDB dan “derma” politik RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun persendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelang pilihan raya umum ke-13 pada 2013.
Ujar beliau, Abdul Aziz mendakwa “derma” RM2.6 bilion diberi kepada Najib untuk membiayai perjuangan melawan DAP “yang dibiayai Yahudi”.
Menurut hujah merepek Abdul Aziz, jika UMNO kalah dalam pilihan raya, DAP yang disokong Yahudi akan berkuasa, dan kalau “kerajaan Islam Malaysia” tumbang, rosak perjuangan Islam seluruh dunia, tambah beliau.
“Tidak waras dan tidak logik langsung bahawa DAP boleh berkuasa bila hanya bertanding dalam 51 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen. Menang semua pun tak mungkin jadi parti terbesar, apatah lagi berkuasa.
“DAP hanya berdepan dengan calon UMNO dalam dua kerusi Parlimen, di mana DAP menang satu dan kalah satu. Tak kan perlu RM2.6 bilion untuk lawan DAP dalam dua kerusi Parlimen?
“Kalau begitu betapa banyak lagi dibelanjakan oleh UMNO dalam pertandingan kerusi-kerusi parlimennya yang lain?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, jelas UMNO sudah hilang idea memerintah dan hanya mahu menutup kerakusan kuasa dan skandal rasuah dalam kerajaan.
Oleh itu, katanya, mereka akan membuat fitnah besar yang bodoh tentang konspirasi Yahudi bersama dengan DAP, yang jelas tidak masuk akal sama sekali.
“Adalah lebih baik jika kerajaan persekutuan BN menjelaskan mengapa mereka berhubung dengan syarikat kewangan besar antarabangsa yang dimiliki oleh Yahudi dalam urusan kewangan 1MDB,” ujarnya.
Minggu lalu Ketua Bahagian UMNO Kuantan, Wan Adnan Wan Mamat, pula mendakwa sumbangan RM2.6 bilion kepada Najib adalah dari Arab Saudi kerana menghargai peranan Perdana Menteri melawan kumpulan militan ISIS, ISIL atau IS (Islamic State).
Hujah itu juga tidak munasabah kerana wang itu diberikan sejurus sebelum PRU13, iaitu pada Mac 2013 sedangkan IS/ISIS/ISIL hanya ditubuhkan sebulan selepas itu, iaitu pada April 2013, sebagai kumpulan serpihan Al-Qaeda.
Malah, lebih setahun selepas itu, Najib pada Jun 2014, dilaporkan memuji perjuangan IS/ISIS/ISIL dengan menggesa UMNO mencontohi perjuangan kumpulan militant tersebut. – Roketkini.com