Derma RM2.6 bilion untuk lawan DAP yang ditaja Yahudi? Apa dah jadi dengan pemimpin UMNO?


anthony loke pix
KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Adakah pemimpin-pemimpin UMNO sedar atau tidak bahawa mereka menunjukkan tahap kebodohan yang tiada batasannya dalam perlumbaan mereka untuk menyelamat dan mempertahankan Datuk Seri Najib Razak dalam skandal RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun peribadinya?
Soalan itu dilontarkan oleh Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook kepada pimpinan UMNO berikutan beberapa kenyataan mereka yang semakin terdesak dan tidak masuk akal berhubung skandal tersebut.
Beliau berkata, pagi tadi semasa mesyuarat UMNO Bahagian Sri Gading, ketua bahagiannya Datuk Abdul Aziz Kaprawi mendakwa bahawa penderma dari Timur Tengah memberi sumbangan dana sebanyak RM2.6 bilion kepada Najib supaya UMNO boleh melawan DAP dalam pilihanraya umum ke-13 kerana kononnya DAP dibiayai oleh Yahudi.
Katanya, Abdul Aziz membuat cerita kononnya penderma tersebut khuatir pengaruh Yahudi akan meresap di Malaysia melalui DAP dan memusnahkan “Kerajaan Islam” yang diketuai Barisan Nasional.
Sedangkan, beliau berkata, minggu lalu Ketua Bahagian UMNO Kuantan, Wan Adnan Wan Mamat, pula mendakwa sumbangan RM2.6 bilion kepada Najib adalah dari Arab Saudi kerana menghargai peranan Perdana Menteri melawan kumpulan militan ISIS atau ISIL atau IS (Islamic State).
“Saya tidak kisah sekiranya pemimpin UMNO mahu menunjukkan kebodohan mereka tetapi janganlah sampai memperbodohkan rakyat Malaysia dan menganggap rakyat tidak ada akal untuk berfikir.
“Lebih-lebih lagi, pemimpin-pemimpin UMNO nampaknya tidak malu menyalahgunakan nama agama Islam dan kononnya untuk mempertahankan Islam untuk “menghalalkan” wang RM2.6 billion dalam akaun Najib.
“Adakah mereka langsung tidak mempedulikan nilai kebenaran semata-mata untuk mempertahankan sesuatu yang jelas tidak amanah dan menyelamatkan karier politik mereka sendiri?
“Kalaulah betul DAP menerima sumbangan daripada Yahudi ataupun mana-mana sumber asing, sudah tentu seluruh jentera propaganda UMNO dan kerajaan membongkarkan “agenda jahat” ini dalam kempen PRU13 yang lalu dan “memusnahkan” DAP pada ketika itu juga, dan bukannya membuat “pendedahan besar” ini hanya 27 bulan selepas PRU 13!” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, DAP berdepan dengan UMNO di dua kerusi Parlimen sahaja, iaitu Gelang Patah di Johor dan Sepanggar di Sabah dalam PRU13.
Persoalannya, soal beliau, adakah UMNO memerlukan RM2.6 bilion untuk melawan DAP di dua kerusi Parlimen tersebut?
Malah, ujar beliau, secara keseluruhan, DAP hanya bertanding 51 daripada 222 kerusi dalam PRU 13.
Jika DAP menang kesemua 51 kerusi pun, katanya, tidak mungkin DAP boleh membentuk kerajaan secara bersendirian kerana tidak cukup majoriti mudah.
“Mungkin bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Ghani Othman yang melawan Lim Kit Siang di kerusi Parlimen Gelang Patah boleh mengesahkan sama ada dana tersebut ditaburkan di Gelang Patah untuk menewaskan Kit Siang yang kononnya “ditaja oleh Yahudi”, ataupun beliau (Ghani) tidak mendapat sebarang bantuan daripada Najib sehingga UMNO ditewaskan oleh DAP di Gelang Patah,” tambah beliau.
Anthony mengulangi penjelasan bahawa DAP tidak pernah mendapat sumbangan kewangan daripada mana-mana sumber asing untuk bertanding pilihanraya.
Beliau juga mengingatkan pemimpin-pemimpin UMNO bahawa apapun usaha mereka untuk mengalihkan perhatian rakyat, isu RM2.6 bilion akan terus menghantui Najib dan UMNO, “kini dan selama-lamanya”.