Skandal 1MDB: Ketua Pembangkang kemuka 3 tuntutan
Ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di pertemuan tergempar Ahli-Ahli Parlimen dan wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO) di tapak kawad kehormat, Parlimen Malaysia yang lalu.
Ucapan pembukaan
1) Tuduhan-tuduhan terbaru ke atas kredibiliti Perdana Menteri adalah satu isu negara yang besar kerana ia melibatkan kebolehpercayaan rakyat terhadap negara.
2) Pendedahan oleh Wall Street Journal itu juga mempersoalkan keabsahan Plihan Raya Umum ke-13 yang lalu sekiranya sejumlah wang rakyat digunakan untuk membiayai kempen pilihan raya Barisan Nasional.
3) Oleh kerana persetujuan Perdana Menteri diperlukan sebelum satu sidang Parlimen tergempar dipanggil mengenai sesuatu isu, sudah tentu sesi Parlimen itu tidak akan dipanggil. Ini merendahkan martabat Parlimen di mata rakyat apabila ia tidak berbuat apa-apa pada ketika krisis keyakinan rakyat terhadap Perdana Menteri memuncak.
4) Justeru, sebagai Ketua Pembangkang setelah berbincang dengan pimpinan kanan pembangkang yang lain, saya mengambil inisiatif untuk memanggil satu sidang tidak rasmi ini dalam bentuk caucus untuk memberi peluang kepada Ahli Parlimen dan wakil-wakil masyarakat menyuarakan pandangan mereka mengenai isu ini.
5) Saya berharap ini merintis amalan yang sama di masa hadapan yang mana Ketua Pembangkang akan terus memanggil sesi tergempar tidak rasmi dalam bentuk caucus seperti ini untuk menjemput Ahli Parlimen dan wakil masyarakat bersuara.
Ucapan penggulungan
Ucapan penggulungan
1) Tuduhan-tuduhan bersabit dengan 1MDB membawa kesan ekonomi yang langsung kepada negara. Beberapa dasar negara termasuklah pemberian subsidi kepada rakyat telah berubah antaranya disebabkan oleh beban kewangan 1MDB yang ditanggung kerajaan.
2) Tuduhan oleh WSJ terhadap Perdana Menteri perlu dipandang serius kerana ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia bila mana seorang Perdana Menteri dituduh sedemikian rupa oleh sebuah penerbitan besar dunia.
3) Saya percaya perkara-perkara berikut perlu dipertimbangkan setelah mendengar pendapat Ahli-ahli Parlimen dan wakil masyarakat yang bersuara:
i – Satu sidang Parlimen khas dipanggil dengan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Peguam Negara dipanggil untuk memberi keterangan di Parlimen mengenai perkembangan siasatan isu berhubung 1MDB
ii – Perdana Menteri wajar bercuti sementara siasatan dijalankan
iii – Semua kumpulan yang prihatin dengan perkara ini perlu menyusun gerakan rakyat untuk menolak sebarang bentuk penyelewengan dan sebarang usaha yang melindungi mana-mana pihak
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=67109