Oleh: Azuan Ab Rahman)
KUALA LUMPUR 30 JULAI- Anggota Sekretariat #KitaLawan, Fariz Musa berkata fokus untuk menumbangkan Perdana Menteri, Datuk seri Najib Razak merupakan keutamaan kepada gerakan itu pada masa ini.
Katanya, kredibiliti Najib yang terpalit dengan skandal 1Malaysia Development berhad (1MBD) semakin diragui apabila merombak kabinet bagi menyingkirkan timbalannya baru-baru ini.
“Kita fokus dengan tema ‘Kita Lawan Najib’ kerana kita melihat apa yang berlaku pada negara berpunca dari kelemahan pentadbiran Najib.
“Sebab itu untuk selamatkan negara, kita tidak ada cara lain selain memastikan Najib ditangkap dan diambil tindakan undang-undang,” tambah Fariz dalam sidang media hari ini.
Fariz turut mengingatkan pihak polis supaya tidak mengganggu himpunan pada 29 Ogos ini. Tegasnya, rakyat hanya menuntut hak mereka dan bukan musuh kepada negara.
Sementara itu, Adun Teja, Chan Li Kang berkata, rakyat Malaysia sudah tiada pilihan selain mendesak Najib melepaskan jawatan.
Katanya, rakyat sudah memberi peluang terlalu lama, namun Najib gagal memperbaiki keadaan ekonomi, sebaliknya bertindak menggugurkan pemimpin yang mengkritik pentadbirannya.
Sementara itu, Pemimpin Pemuda Gerakan Harapan Baru, Mohd Fakhrul Razi Mohd Mokhtar berkata, rakyat Malaysia kini menuntut perubahan menyeluruh terhadap kerajaan.
“Rakyat bukan nak melihat perubahan kabinet, tetapi nak melihat perubahan kerajaan. Bukan nak lihat timbalan perdana menteri baru, tetapi nak melihat semua menteri baru termasuk Perdana Menteri yang baru dan bertanggungjawab.
“Kita sebagai anak muda tiada masa untuk bertangguh atau hanya melihat, kita perlu memainkan peranan kita,” tambah beliau.
Mereka sebelum itu hadir dalam satu sidang media oleh #kitaLawan yang mengumumkan sokongan kuat terhadap himpunan Bersih 4.0 yang dijadualkan akan diadakan pada Ogos.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=67252