Pagoh dan Pekan lebih mundur, cabar Muhyiddin tegur Najib

Pagoh dan Pekan lebih mundur, cabar Muhyiddin tegur Najib

(Oleh Ermizi Muhamad)

PERMATANG PAUH 2 MEI : Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegur Datuk Seri Najib Razak yang kini lebih sibuk menghabiskan masa di luar negara.

Gesaan itu dibuat berikutan kenyataan Muhyiddin sebelum ini bahawa DUN Kajang yang disandang calon KEADILAN untuk Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terabai.
Najib Muhyiddin“Saya cabar Muhyiddin supaya berani menegur Perdana Menteri yang lebih banyak menghabiskan masa di luar negara berbanding dalam negara.

“Tambah pula Najib memegang dua portfolio, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Dua-dua jawatan ini membebankan, kemudian nak jaga Pekan lagi, nak menepis serangan Dr Mahathir lagi, kemudian jadi Penasihat 1MDB (1Malaysian Development) yang jauh lebih sibuk daripada tugas Wan Azizah nak jaga Permatang Pauh.

“Jadi saya nasihatkan Muhyiddin, bimbangkan kedudukan Najib daripada susah hati fikirkan kedudukan Permatang Pauh dan Kajang di bawah Wan Azizah,” tegas Saifuddin.

Malah katanya lagi, Ahli Parlimen Pagoh itu kini kerap ke luar negara membawa rombongan-rombongannya ke Australia dan Dubai.

“Muhyiddin pun sekarang ini sibuk bawa rombongannya ke Melborne, Dubai. Jadi tak perlulah sibuk tentang Wan Azizah,” sindir Saifuddin.

Sebelum ini, Muhyiddin membangkitkan kebimbangan kononnya jika Wan Azizah memenangi kerusi Permatang Pauh, pembangunan infrastruktur dan kebajikan di Parlimen itu akan terabai.

Saifuddin turut membidas Muhyiddin dan Najib kerana gagal memantau kawasan Pagoh dan Pekan dan membiarkan Parlimen itu yang kini lebih jauh ketinggalan berbanding Permatang Pauh.
“Permatang Pauh lebih maju dan baik dari sudut kemudahan dan peluang pekerjaan berbanding Pagoh dan Pekan.

“Kita akan buktikan sebab ketika ini kita telah menghantar beberapa jurufoto untuk lihat sendiri kawasan mereka dan kita akan dedahkan kepada media,” katanya.