SHAHBUDIN HUSSEIN
Dalam
tulisan di blognya hari ini, Tun Mahathir mengatakan BN akan kalah
dalam pilihanraya akan datang selagi dipimpin oleh Najib kerana ketika
ini semua kaum menolak kepimpinannya.
Tun
Mahathir juga membangkitkan mengenai siapa yang mengarahkan pembunuhan
Altantuya, mengenai hutang 1MDB serta pembelian jet baru yang katanya
"untuk kegunaan Datuk Seri dan Datin Seri."
Serangan
Tun Mahathir kali ini adalah yang paling keras berbanding sebeluknya
dan menyeluruh menyentuh pelbagai aspek yang menjadi punca utama
penolakan rakyat terhadap UMNO dan BN yang dipimpin oleh Najib.
Sebelum
ini, ketika menulis mengenai 1MDB, Tun Mahathir sudah pun menimbulkan
beberapa persoalan mengenai kaitan syarikat itu dengan Jho Low dan anak
tiri Najib, Riza Aziz yang mampu menerbitkan filem di Hollywood dan
membeli unit kondo mahal di New York.
Tulisan
dan kritikan Tun Mahathir kali ini, jika difahami, tidak lain hanya
dengan satu tujuan iaitu mahukan Najib berundur atau diundurkan dengan
segera jika UMNO dan BN ingin terus mengekalkan kuasa dalam tangannya.
Secara
realitinya dan berdasarkan penolakan pelbagai segmen masyarakat yang
makin nyata ketika ini, Najib sememangnya hampir tidak diyakini lagi
mampu mencipta kemenangan buat UMNO dan BN dalam pilihanraya akan
datang.
Najib
bukan saja sarat dengan masalah, isu dan kelemahan, bahkan juga
mengekalkan segala masalah, isu dan kelemahan itu kekal bersarang
melingkari kepimpinannya tanpa menampakkan usaha yang jitu untuk
bergerak memperbaikinya.
Yang
menariknya, serangan dan kritikan Tun Mahathir kali ini segera mendapat
respon positif daripada Tengku Razaleigh Hamzah yang mahukan Najib
segera tampil memberikan jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan itu.
Menurut
beliau yang lebih popular dengan Ku Li, Tun Mahathir hanya menuntut
penjelasan dan sudah sampai masanya Najib memberikan penjelasan agar
kebenaran terserlah.
Pendirian
senada antara Tun Mahathir dengan Ku Li ini secara umumnya adalah
berita gembira kepada mereka yang sayangkan negara ini. Terlihat
seolah-olah ada sinar baru untuk menyelamatkan negara ini daripada terus
musnah dan binasa melalui pendirian senada Mahathir dan Ku Li ini.
Ketika
ini, haruslah diakui bahawa negara kita diuruskan dengan teruk oleh
Najib. Hutang negara meningkat, wang 1MDB hilang entah ke mana, ekonomi
suram, ringgit jatuh, peluang perniagaan atau pekerjaan terhad,
pembaziran serta pemborosan terus berleluasa, tadbir urus kerajaan di
tahap paling lemah serta 1001 masalah lainnya.
Yang paling memeritkan ialah, hutang sudah pun sedia menunggu bagi anak dan cucu kita yang belum pun lahir ke dunia ini lagi.
Demi
menyelamatkan masa depan negara ini, sebenarnya tidak saja Ku Li yang
harus tampil memberi sokongan kepada Mahathir. Tun Abdullah Badawi, Tun
Musa Hitam dan lain-lain harus juga berani bersuara dan bersama-sama
berganding bahu dengannya.
Sebagaimana
Tun Mahathir yang tiada kepentingan apa-apa lagi dalam kehidupannya
kerana semua anak-anaknya sudah berjaya dan kaya raya, Tun Abdullah dan
Tun Musa Hitam juga akan lebih dihormati dan dihargai jika mahu
berganding bahu mulai sekarang.
Semua
tokoh-tokoh yang pernah berjasa ini iaitu Tun Mahathir, Ku Li, Tun
Abdullah dan Tun Musa Hitam harus melupakan sejarah silam dan tidak lagi
terperangkap dengan penjara masa masing-masing.
Sekarang
adalah masa untuk "biduk lalu kiambang bertaut" serta "buang yang keruh
dan ambil yang jernih" kerana masa depan negara dan generasi akan
datang lebih penting dari segala-galanya. ( 02/04/2015)