Masa Untuk Tun M, Ku Li, Pak Lah dan Musa Hitam Bersatu

SHAHBUDIN HUSSEIN


Sekembalinya daripada luar negara semalam kerana menjalani rawatan mata di Jepun dan tidak menghadiri majlis kenduri kahwin anak perempuan Najib Razak yang gilang-gemilang dan super mewah,  bekas Perdana Menteri,  Tun Mahathir Mohamad tidak menunggu lama untuk meneruskan serangannya kepada Perdana Menteri yang sudah sekian lama ditarik balik sokongannya.

Dalam tulisan di blognya hari ini, Tun Mahathir mengatakan BN akan kalah dalam pilihanraya akan datang selagi dipimpin oleh Najib kerana ketika ini semua kaum menolak kepimpinannya.

Tun Mahathir juga membangkitkan mengenai siapa yang mengarahkan pembunuhan Altantuya, mengenai hutang 1MDB serta pembelian jet baru yang katanya "untuk kegunaan Datuk Seri dan Datin Seri."

Serangan Tun Mahathir kali ini adalah yang paling keras berbanding sebeluknya dan menyeluruh menyentuh pelbagai aspek yang menjadi punca utama penolakan rakyat terhadap UMNO dan BN yang dipimpin oleh Najib.

Sebelum ini, ketika menulis mengenai 1MDB, Tun Mahathir sudah pun menimbulkan beberapa persoalan mengenai kaitan syarikat itu dengan Jho Low dan anak tiri Najib, Riza Aziz yang mampu menerbitkan filem di Hollywood dan membeli unit kondo mahal di New York.

Tulisan dan kritikan Tun Mahathir kali ini, jika difahami, tidak lain hanya dengan satu tujuan iaitu mahukan Najib berundur atau diundurkan dengan segera jika UMNO dan BN ingin terus mengekalkan kuasa dalam tangannya. 

Secara realitinya dan berdasarkan penolakan pelbagai segmen masyarakat yang makin nyata ketika ini, Najib sememangnya hampir tidak diyakini lagi mampu mencipta kemenangan buat UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.

Najib bukan saja sarat dengan masalah, isu dan kelemahan, bahkan juga mengekalkan segala masalah, isu dan kelemahan itu kekal bersarang melingkari kepimpinannya tanpa menampakkan usaha yang jitu untuk bergerak memperbaikinya.

Yang menariknya, serangan dan kritikan Tun Mahathir kali ini segera mendapat respon positif daripada Tengku Razaleigh Hamzah yang mahukan Najib segera tampil memberikan jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan itu.

Menurut beliau yang lebih popular dengan Ku Li, Tun Mahathir hanya menuntut penjelasan dan sudah sampai masanya Najib memberikan penjelasan agar kebenaran terserlah.

Pendirian senada antara Tun Mahathir dengan Ku Li ini secara umumnya adalah berita gembira kepada mereka yang sayangkan negara ini. Terlihat seolah-olah ada sinar baru untuk menyelamatkan negara ini daripada terus musnah dan binasa melalui pendirian senada Mahathir dan Ku Li ini.

Ketika ini, haruslah diakui bahawa negara kita diuruskan dengan teruk oleh Najib. Hutang negara meningkat, wang 1MDB hilang entah ke mana, ekonomi suram, ringgit jatuh, peluang perniagaan atau pekerjaan terhad, pembaziran serta pemborosan terus berleluasa, tadbir urus kerajaan di tahap paling lemah serta 1001 masalah lainnya.

Yang paling memeritkan ialah, hutang sudah pun sedia menunggu bagi anak dan cucu kita yang belum pun lahir ke dunia ini lagi.

Demi menyelamatkan masa depan negara ini, sebenarnya tidak saja Ku Li yang harus tampil memberi sokongan kepada Mahathir. Tun Abdullah Badawi, Tun Musa Hitam dan lain-lain harus juga berani bersuara dan bersama-sama berganding bahu dengannya.

Sebagaimana Tun Mahathir yang tiada kepentingan apa-apa lagi dalam kehidupannya kerana semua anak-anaknya sudah berjaya dan kaya raya, Tun Abdullah dan Tun Musa Hitam juga akan lebih dihormati dan dihargai jika mahu berganding bahu mulai sekarang.

Semua tokoh-tokoh yang pernah berjasa ini iaitu Tun Mahathir, Ku Li, Tun Abdullah dan Tun Musa Hitam harus melupakan sejarah silam dan tidak lagi terperangkap dengan penjara masa masing-masing. 

Sekarang adalah masa untuk "biduk lalu kiambang bertaut" serta "buang yang keruh dan ambil yang jernih" kerana masa depan negara dan generasi akan datang lebih penting dari segala-galanya. ( 02/04/2015)