Anwar sedia bantu SPRM siasat Daim
(Oleh: Amirul Azhan)KUALA LUMPUR 19 JANUARI: Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan bagi membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Ini berikutan hampir 15 laporan dilakukan terhadap Daim yang dikatakan mengaut berbilion ringgit melalui kepetingannya di Bank Africa dan Eropah Timur.
“SPRM harus jalankan tugasnya secara profesional dan saya akan berikan kerjasama sepenuhnya.
“Saya ada bahan-bahan, saya tiada masalah untuk disoal kerana itu sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membantu siasatan,” kata Anwar dalam program Meet Anwar yang dianjurkan Kelab Anwar Ibrahim (AIC) semalam.
Pada 15 Januari lalu, Daim berkata beliau sedia bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan terhadap perniagaan perbankannya di luar negara.
Menurut Anwar, beliau memang mempunyai bukti dalam penyalahgunaan kuasa Daim tetapi sudah difailkannya.
Daim dipetik oleh laporan berita sebagai berkata beliau disiasat dua kali sejak 1999 berhubung perkara itu, dan tiada apa yang tidak kena dalam siasatan itu.
Dalam pada itu, (SPRM) hari ini dilapor telah mengambil keterangan mantan menteri kewangan itu berhubung dakwaan salah laku terhadapnya.
Suruhanjaya itu juga akan berjumpa dengan Anwar yang mendakwa mempunyai bukti kukuh berkenaan kes itu.
“SPRM juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai bukti supaya bekerjasama dengan SPRM,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull (kanan).
Dalam kenyataannya hari ini, Mohd Shukri berkata, keterangan Daim, Anwar dan lain-lain saksi akan dikemukakan semula kepada timbalan pendakwa raya dan Panel Penilaian Operasi (PPO), badan bebas yang memantau operasi SPRM.