oleh: Jebon
Khabar angin dari sumber yang dipercayai menyebut Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman tidak mahu lagi memperpanjangkan pertikaian dalaman Harakah.
Beliau dengan rela hati ingin berundur dan mahu melihat generasi editor baharu memajukan lidah rasmi parti itu memenuhi sasaran Ketua Penerangan PAS Mahfuz Omar yang mahukan jualan Harakah berkembang ke angka 100,000 dalam tempoh enam bulan akan datang.
Namun penyokong Lutfi kecewa dengan rajuk beliau kali ini. Lutfi yang pernah dinobatkan seumpama dinasour T-Rex pada era Reformasi, berjaya menumbangkan MB Selangor Abu Hassan Omar menerusi penerbitan tidak berkala Memo, dilihat tidak mudah menyerah kalah pada awal krisis.
Oleh yang demikian, kumpulan Paksi yang didukung abangnya Dinsman membela Lutfi. Begitu juga pertubuhan wartawan Geram menegur pengurusan Harakah kerana tidak mengamalkan tatacara yang betul dalam bertindak ke atas kakitangan media.
Rajuk Lutfi tidak mungkin berlaku sedekad lalu sewaktu kesihatannya tidak seburuk sekarang. Bagaimanapun Lutfi yang masih memegang jawatan Ketua Pengarang sehingga nasibnya diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Harakah pada 17 Februari depan masih berkuasa mengendalikan penerbitan PAS itu.
Jualan merosot
Menurut sumber yang dipercayai, Lutfi merajuk kerana puak profesional PAS tidak membelanya menghadapi serangan puak ulama. Terutama Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang amat diharapkannya dan sering mengunjungi pejabat Harakah untuk menyumbang buah fikiran.
Ternyata puak profesional PAS termakan hujah golongan anti Lutfi. Hujah mereka kononnya di bawah kepimpinan Lutfi jualan merosot.
Namun wartawan Harakah bukanlah spesis Melayu Umno mudah lupa. Ketika jualan Harakah melonjak ke angka 300,000 setiap keluaran, pada zaman Ketua Pengarang Zulkifli Sulong dulu pun, terdapat juga puak yang tidak puas hati dengan kepimpinan Zul. Akhirnya Zul ditukar ke Harakahdaily, sebagai editor versi online Harakah.
Apabila politiking dalam Harakah dan PAS semakin buruk dengan pertelagahan golongan pro PR dan ulama Unity Government (UG) pro Umno maka Zul mengambil keputusan meninggalkan terus Harakah untuk menjawat editor The Malaysian Insider.
Jasa Lutfi
Dalam kes Lutfi, beliau tidak wajar dipersalahkan. Lutfi pernah berjasa membawa Harakah ke puncak kejayaan pada bulan-bulan sebelum PRU ke 13 dari Januari hingga Mei 2013. Ketika itu Harakah dicetak 120,000 setiap keluaran. Mengapakah Lutfi tidak diraikan kerana peningkatan jualan itu? Tiada pula upacara kenduri doa selamat atau hadiah plak kepada beliau kerana kenaikan jualan.
Penurunan jualan ketika ini bukan disebabkan kesihatan Lutfi. Penerbitan PKR, Suara Keadilan juga mengalami penurunan ke paras 70,000 nashkah sahaja. Mood rakyat selepas pilihan raya memberi kesan kepada akhbar politik.
Bukan semua rakyat minat politik. Malah terdapat ahli parlimen atau ADUN sekali pun tidak membaca akhbar politik. Jangan terpengaruh hujah puak pro ulama kononnya mereka tidak membaca Harakah kerana akhbar itu terlalu liberal. Ulama sebenarnya tidak punya masa membaca akhbar kecuali bahan-bahan rujukan agama untuk kuliah mingguan mereka.
Lebih buruk lagi apabila cybertrooper anti Lutfi membuat print screen beberapa berita di halaman harakahdaily membuktikan pada hari yang sama, berita rayuan Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan dimuat pada sroll paling atas tetapi berita Presiden PAS, Hadi Awang di bawah.
Pemimpin PAS pula mempersoalkan tindakan Lutfi meletak berita rayuan Anwar di muka depan. Adakah pemimpin ini masih berada di abad ke 18? Tiada penyokong PAS akan membeli Harakah jika ‘news maker’ adalah Anwar tetapi Harakah meletakkan gambar tok guru sebagai berita utama. Mereka lebih rela membeli Berita Harian atau Utusan untuk mengetahui perkembangan semasa.
Walaupun akhbar parti, Lutfi wajar dibenar menyempurnakan tugasnya sebagai wartawan. Dapat dimengerti ulama PAS amat anti Anwar dan sekiranya parti itu meninggalkan PR maka Anwar akan mudah terpadam daripada ruang pemikiran para penyokong sekiranya Harakah tidak menyiarkan berita ketua pembangkang itu. Tetapi bagaimanakah Harakah akan survive tanpa berita panas? Adakah PAS mahu Harakah diberi percuma kepada ahli seperti akhbar kerajaan Selangor?
Sedangkan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia sekali pun menyiarkan Anwar di muka depan ketika tokoh pembangkang itu menjadi tumpuan utama. Puak profesional dalam Lembaga Pengarang Harakah seperti Salahudin Ayub, Mahfuz Omar, Suhaizan Kaiyat dan lain-lain janganlah mengepung diri sendiri dengan hujah puak anti Lutfi.
Tiada masa depan
Sekiranya Harakah mahu ditingkatkan jualannya, cara paling sesuai ialah menggajikan editor Metro sebagai ketua pengarang dan meletakkan berita sensasi di muka depan. Tetapi tidak mungkin PAS setuju. Jadi, sekiranya Lutfi disingkirkan pun, dengan Harakah mengekalkan format politik maka jualan tidak akan meningkat.
Harakah pernah menjadi akhbar rujukan utama ketika PAS dipimpin oleh Presiden Fadzil Noor. Orang-orang Fadzil dalam Harakah ketika itu begitu dinamik. Pada era reformasi, ketika pemimpin ulung Dewan Ulama dan Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Harun Taib menentang kerjasama PAS dan puak Reformasi, Harakah tetap memberi ruang antara dua hingga enam muka surat untuk memuatkan berita perbicaraan Anwar.
Malah ketika Reformasi memuncak, Harakah mengambil pendekatan akhbar arus perdana dengan memuatkan hampir keseluruhan isi kandungan dan muka depannya seputar momentum Reformasi. Wajah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Tan Seng Giaw, Dr Wan Azizah, Azmin Ali, Tian Chua, Dr Badrol Amin, Nurul Izah, Ezam Mat Noor, Saari Sungip malah Hishamudin Rais dikenali penyokong pembangkang melalui muka surat Harakah.
Tidak dapat dibayangkan jika Anwar melancarkan gerakan Reformasi ketika PAS mula berbaik-baik dengan Umno dan Harakah dipersoalkan kerana ‘terlalu liberal’ seperti hari ini. Tentunya PAS akan kekal menjadi parti kecil dan Harakah akan kekal sebagai ‘akhbar nyamuk’.