Bangunan tertinggi di Malaysia akan dibina di atas bekas tanah milik Sultan Johor?

Bangunan tertinggi di Malaysia akan dibina di atas bekas tanah milik Sultan Johor?

Nasional


Enam bulan selepas mengejutkan dunia hartanah negara dengan membeli 116 ekar tanah di Johor Bharu bernilai RM4.5 bilion daripada Sultan Johor, pemaju hartanah daripada China, R&F Properties Co Ltd tidak mengambil masa yang panjang untuk membangunkan tanah bernilai tinggi itu.
 
R&F Properties yang berpengkalan di Guangzhou dan disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong, merupakan salah sebuah pemaju hartanah terbesar di China.
 
Perancangan syarikat terbabit adalah untuk membangunkan tanah bekas milik Sultan Johor itu menjadi projek hartanah terunggul Johor,  digelar "Princess Cove" yang bakal muncul sebagai mercu tanda ikonik terbaru bandaraya selatan tanah air. 
 
Menurut sumber-sumber kepada Malaysia Gazette, projek hartanah "Princess Cove" di Tanjung Puteri itu bakal menampilkan dua buah bangunan pencakar langit, dengan salah satu daripadanya bakal dinobatkan sebagai bangunan tertinggi di Malaysia, mengatasi Menara Berkembar Petronas.
 
"Bangunan pencakar langit yang bakal menempatkan ofis gred A bakal mempunyai ketinggian melebihi 550 meter dan akan menjadi mercu tanda ikonik terbaru bandar raya Johor Bharu, sebagaimana Menara Berkembar Petronas kepada Kuala Lumpur," kata sumber itu.
 
Sebuah lagi bangunan pencakar langit di projek hartanah "Princess Cove" itu pula akan menempatkan hotel lima bintang.
 
Kedua-dua bangunan pencakar langit itu katanya, terletak bersebelahan pintu masuk Tambak Johor dan berhadapan dengan kompleks Imigresen Singapura. 
 
"Ia (bangunan pencakar langit) itu seolah-olah sebagai mercu tanda ikonik yang akan menyambut kedatangan pengunjung ke Johor menerusi Tambak Johor," kata sumber itu lagi.
 
Selain bangunan pencakar langit yang akan menjadi mercu tanda terbaru Johor Bharu, fasa pertama projek "Princess Cove" itu akan meliputi pembinaan 3,000 kondominium mewah pelbagai saiz dan kompleks membeli-belah, yang dijangka siap 2017.
 
"Di dalam fasa pertama sahaja, akan ada 15 blok kondominium mewah menempatkan lebih 3,000 kondominium mewah yang harganya bakal mencecah jutaan ringgit," katanya sambil menambah, pembeli kondominium itu dijangka rakyat tempatan, Singapura, China dan negara luar termasuk daripada Amerika Syarikat dan Britain.
 
Lawatan Malaysia Gazette ke galeri jualan projek "Princess Cove" di Tanjung Puteri itu mendapati segala kemudahan termasuk rumah contoh telah bersedia untuk menerima pengunjung yang berminat untuk melabur bagi mendapatkannya.
 
Uniknya di galeri jualan itu adalah kesemua kakitangannya daripada pengawal keselamatan hinggalah ke tukang sapu, pembuka pintu, penjaga lanskap, pembancuh kopi, pelayan dan wakil-wakil jualan terdiri daripada warga tanah besar China. -- MALAYSIAGAZETTE