Antara tukar S/U politik atau tukar kerajaan Selangor
Isnin lalu Yunus dalam satu pos di akaun facebooknya berkata tradisi membela rakyat kini menjadi agenda terkebawah di dalam keutamaan pimpinan Pakatan Rakyat Selangor. Sebaliknya Pakatan menumpukan agenda perubahan tampuk tertinggi Negeri Selangor sebagai impian dan harapan mutlak untuk penggal kedua pemerintahan.
Yunus cuba menghentam Anwar Ibrahim, Azmin Ali, Dr Wan Azizah, Tony Pua, Gobind Singh Deo dan beberapa pemimpin senior Pakatan Rakyat lain yang sebelum ini didapati bekerja keras untuk menukar Khalid yang dianggap melanggar arahan pemimpin tertinggi Pakatan dalam mentadbir Selangor.
Budak mentah
Dalam hal strategi, Yunus bukanlah orang yang boleh diambil kira pandangan politiknya memandangkan beliau masih budak mentah. Beliau tidak mempunyai pengalaman luas dalam sepak terajang politik. Lurus bendul dan tidak melihat bahaya di hadapan.
Politik di Selangor sejak Khalid menjadi MB telah diresapi persepsi ‘Khalid di atas segala-galanya’. Lihat sahaja akhbar kerajaan negeri Selangorkini. Hanya muka Khalid yang terpapar pada setiap halaman. Bukan sedikit exco yang merungut berita program mereka tidak dimasukkan langsung kerana ingin memberi laluan kepada Khalid dan exco-exco kegemarannya menghiasi muka akhbar itu.
Tentulah perkara yang lebih besar lebih teruk dikuasai Khalid. Dana untuk kebudayaan misalnya, amat sukar diluluskan. Sebahagian daripada penggerak Reformasi adalah penggiat seni dan mereka inginkan dana untuk menggerakkan kegiatan anak muda. Selain menghindar anak muda dari perlakuan jenayah dan vandalisme, kesenian yang ditaja kerajaan Selangor juga mampu meningkat sokongan ke atas kerajaan Pakatan.
Malangnya Khalid pada penggal kedua meniadakan potforlio kebudayaan dalam tugasan exco. Begitu juga dana untuk kegiatan lain. Ibu tunggal dan pemberdayaan wanita misalnya tidak diberi dana secukupnya. Mustahil Yunus tidak pernah mendengar keluhan exco lain. Sedangkan para exco berkenaan berani meluahkannya secara off record kepada wartawan media.
S/U politik
Berkemungkinan Yunus mengetahui masalah sebenar dalam pentadbiran Selangor tetapi merahsiakannya. Iaitu ‘wanita-wanita penasihat Khalid yang berkuasa’. Sudah menjadi rahsia umum Anwar tidak berminat untuk menggugurkan Khalid pada awalnya. Bagaimanapun setiausaha politik, setiausaha media dan penjaga akaun di GLC Selangor yang ‘terlebih sudu daripada kuah’ menyebabkan Anwar tiada pilihan lain, selain mendengar keluhan wakil rakyat bawahan PKR.
Sejak penggal lepas lagi banyak suara tidak puas hati dan mengkritik cara setiausaha Khalid, Faekah Husein mencorakkan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan Khalid. Banyak wakil rakyat yang mahu Khalid memecat Faekah dan menggantikan dengan seseorang yang lebih mesra rakyat. Bagaimanapun Khalid mempertahankan Faekah dan malah mempercayai wanita itu untuk menjaga GLC dan sebagainya.
Selain itu, Khalid juga bersikap kedekut untuk meluluskan program yang bermanfaat politik. Menjadi kebiasaan kerajaan negeri BN melakukannya. Malah kerajaan PAS dan DAP juga tidak lari daripada program seperti itu. Cuma Selangor kurang mesra politik kerana Khalid kedekut mengeluarkan dana.
Kesempitan dana mengalir ke peringkat akar umbi menyebabkan sukarnya kader parti menarik sokongan pengundi di kawasan mereka. Peruntukan DUN tidak mencukupi untuk tujuan program politik. Sebelum pilihanraya 13 dahulu Khalid juga pernah mengumumkan dana RM300 juta untuk pembangunan insfrastruktur tetapi ada exco mengadu projek-projek rakyat yang dipohon mereka ditolak mentah-mentah oleh sama ada Khalid atau setiausaha politiknya.
Selangor jatuh
Jadi, perkara yang dibuat Anwar ialah menekan Khalid memecat setiausahanya. Sekiranya gagal, maka dalam pilihan raya umum kelak mungkin rakyat Selangor akan memecat Pakatan kerana sikap kedekut Khalid.
Inilah yang menjadi pencetus kepada Langkah Kajang. Strategi itu bukannya untuk merebut jawatan tetapi untuk mengembalikan kekuatan politik Selangor. Khalid tidak pandai bersilat politik apabila menandatangani perjanjian aset air Selangor. Sedangkan beliau sendiri mengetahui Najib hanya ingin projek Langat 2 dilaksanakan selepas kerajaan pusat menghabiskan wang berbilion ringgit menyiapkan terowong air dari Pahang. Khalid juga gagal untuk bertegas dalam projek lebuh raya Kidex yang menerima bantahan penduduk.
Selangor memerlukan ahli politik yang tegas dan bukan pentadbir yang hanya tahu berdiplomasi. Kedudukan Selangor bukan Kelantan yang terpaksa melukut menggemis simpati kerajaan persekutuan. Sekiranya Selangor bertegas dan melawan maka rakyat akan melihat kekuatan Selangor.
Buang tabiat
Selangor tidak cukup kukuh untuk menjadi model ekonomi terbaik dan menjamin kemakmuran rakyat dalam PRU lalu. Sekiranya Selangor mampu dijadikan contoh maka sudah lama rakyat Negeri Sembilan dan Perak yang berjiran dan Pakatan hanya memerlukan 3 kerusi DUN mengubah kerajaan, menggulingkan BN.
Hal itu mengecewakan Anwar dan pemimpin Pakatan yang progresif dalam DAP. Lebih mengecewakan tentunya apabila Khalid telah ‘membuang tabiat’ dalam membelakangkan parti dalam urusan Langat 2 serta Kidex.
Bagi bangsa Melayu apabila seseorang membuang tabiat maka mereka sudah hampir kepada ajal. Maka ajal jawatan Khalid tidak boleh dielak biar pun Yunus dan Iskandar Samad membelanya bermati-matian.