Polis Perlu Jadi Fasilitator Bersih 2.0, Bukan Sekat Rakyat Berhimpun





KUALA LUMPUR 16 JUN: Penasihat DAP, Lim Kit Siang berpendapat polis seharusnya menjadi fasilitator untuk sebarang perhimpunan aman yang ingin dilakukan oleh mana-mana pihak, baik badan bukan kerajaan atau parti politik di negara ini.

Ini kerana menurutnya, proses perkembangan status sesebuah negara seperti Malaysia juga bergantung kepada ruang untuk menyatakan pendapatan tanpa dicemari sebarang insiden provokasi dan rusuhan.

"Polis perlu menyambut dengan terbuka hasrat masyarakat sivil untuk meluahkan pendapat. Polis harus menjadi fasilitator. Bukan macam perkara yang secara terang provokatif," katanya.

Kit Siang merujuk kepada perhimpunan Bersih 2.0 pada Julai ini yang menuntut supaya pilihan raya yang adil dan bersih dilaksanakan dan menurut beliau anggota keselematan itu seharusnya membantu dalam merealisasikan demokrasi tulen di negara ini.

Pada tahun 2007 perhimpunan Bersih berjaya mengumpulkan lebih dari 100 ribu rakyat seluruh negara berarak di beberapa lokasi di ibu negara namun dicemari dengan tembakan gas pemedih mata dan air oleh polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Terbaru Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kononnya perhimpunan yang dirancang kali ini akan memberi impak negatif terhadap nilai-nilai demokrasi negara ini.

Muhyiddin turut mempertikai pendirian rakyat yang mahukan pilihan raya yang lebih adil selain menunding jari kepada gabungan Pakatan Rakyat yang seolah-olah memberi galakan walhal perhimpunan tersebut merupakan medium untuk rakyat menyatakan pendapat.

Lantaran itu, Kit Siang mengarahkan agar polis menyekat sebarang pergerakan Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) yang turut merancang untuk menggangu perhimpunan aman itu.

Beliau menambah, rakyat sudah jemu dengan amalan dwi standard dan penangkapan terpilih yang diamalkan polis apabila berkait dengan sebarang pergerakan oleh pro Umno-Barisan Nasional (BN).

Namun pertubuhan seperti Perkasa, Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) diberi ruang sepenuhnya sambil dilindungi pihak polis.

"Apa beza dengan perhimpunan sejuta belia yang dilakukan kerajaan di Putrajaya walaupun sebenarnya kumpulkan 8 ribu sahaja. Kita lihat rakyat di Singapura mempunyai ruang untuk berarak dalam perhimpunan aman. Adakah rakyat Malaysia tidak matang seperti warga Singapura," katanya lagi.