Tumpu Kebajikan Peneroka Bukan Untung Felda


KUALA LUMPUR 16 JUN: Cadangan memansuhkan Felda Plantation melalui dasar Buku Jingga bukan sahaja disalah erti kepimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) malah dianggap akan membankrupkan agensi kerajaan itu.

Malah menurut ahli parlimen Gombak, Azmin Ali, respon pemimpin-pemimpin Umno itu jelas sekali menggambarkan gagasan itu hanya mementingkan keuntungan yang boleh diraih agensi itu berbanding Pakatan Rakyat yang memikirkan kebajikan golongan peneroka.

Oleh itu katanya, adalah cukup relevan katanya kerajaan menimbang semula atau pun memansuhkan sama sekali Felda Plantation dan diagihkan kepada 1.6 juta anak-anak peneroka Felda.

"Kita tidak bercadang untuk beri tanah kepada peneroka Felda tapi isunya sekarang adalah generasi kedua di mana kebajikan mereka harus diambil berat.

"Kita ada dasar yang jelas dalam Buku Jingga di mana Felda Plantation ini memungut kekayaan yang besar namun tidak memberi manfaat kepada peneroka-peneroka Felda selain memberi keuntungan kepada segelintir kroni yang dipilih oleh Umno.

"Maka pertimbangan kita bahawa Felda Plantation ini harus dikaji semula supaya tanah itu diperuntukkan kepada anak-anak peneroka generasi kedua, itu maksud kita," jelas beliau pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dalam kenyataannya sebelum itu mengecam dasar Buku Jingga yang mendesak agar Felda Plantation dimansuhkan dengan alasan kerajaan Persekutuan tidak lagi menampung perbelanjaan Felda memandangkan agensi itu mampu berdikari.

Beliau berpendirian Felda tidak akan membuat sebarang keuntungan dan akan bankrup sekiranya Pakatan Rakyat diberikan mandat untuk menguruskan tanah Felda seluas 341 ribu hektar di seluruh negara.

Ahmad juga menjelaskan majoriti keuntungan Felda bergantung kepada tanah-tanah tersebut dengan mendakwa RM1.6 bilion diberikan kepada peneroka setiap tahun.

Sehubungan dengan itu Azmin berpendapat sekiranya status keluarga peneroka-peneroka Felda dikekalkan maka golongan ini akan jauh lebih ketinggalan dari sudut pendidikan dan sosio ekonomi.

"Kalau kita lihat anak peneroka Felda masih menghadapi banyak masalah seperti pekerjaan. Sebab itu kita mahu beri pertimbangan ini supaya mereka dapat meningkatkan produktiviti di kalangan generasi kedua dan menambah pendapatan keluarga mereka dan ini dapat membantu," katanya.