PKR Buka Pintu Kerjasama, Jika Objektif Sama





PETALING JAYA 24 MEI : Parti Keadilan Rakyat sedia berbincang dengan mana- mana parti yang mempunyai 'objektif sama' bagi bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi menumpaskan UMNO Barisan Nasional.

Naib Presiden PKR Tian Chua menyatakan PKR sedang mengadakan perbincangan bersama Parti Progresif Sabah (SAPP) pimpinan bekas Ketua Menteri Sabah, Yong Teck Lee dalam merangka kerjasama di negeri itu pada PRU akan datang.

Bagaimanapun Tian menyatakan perbincangan itu masih di peringkat awal.

"Kita ada beberapa perbincangan dengan SAPP, dalam membuat perubahan dan memberi impak kepada Barisan Nasional pada Pilihan Raya akan datang, " kata Tian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di sini hari ini.

7 Mei lalu, Naib Presiden SAPP Dullie Marie mengumumkan satu panel ditubuhkan melibatkan Parti SAPP dan Pakatan Rakyat dalam membincangkan strategi menentang Barisan Nasional dalam PRU akan datang.

SAPP mengumumkan keluar dari Barisan Nasional pada 2008 membantah keputusan UMNO BN di Sabah yang tidak adil dalam pembahagian kerusi pada PRU sebelum ini.

Seorang lagi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyatakan SAPP telahpun bekerjasama dengan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Baru-baru ini.

"Saya berterima kasih kepada SAPP kerana turut membantu kita dalam kempen Pilihan Raya Sarawak di Miri baru-baru ini. Kerjasama ini adalah kerana kita mempunyai musuh yang sama," kata Izzah.

Ketika ditanya mengenai harapan Parti Hak Asasi Manusia (HRP) pimpinan penyelaras Hindraf P. Uthayakumar, Tian menyatakan Pakatan sentiasa mengalukan Parti lain yang mempunyai tujuan sama datang berbincang dengan mereka.

"Kita ada tujuan yang serupa, mana- mana parti yang berminat atau mahu bersama, boleh datang berbincang dengan kami," kata Tian.

No comments: