SPR Dinasihat Fokus Isu Yang Lebih Penting




SHAH ALAM 23 MEI : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dinasihatkan agar memberi tumpuan kepada isu besar yang menjamin keadilan dalam pilihanraya bukannya fokus kepada perkara- perkara kecil umpamanya cadangan larangan membawa telefon bimbit semasa proses pengiraan undi berlangsung.

Tindakan itu menurut SPR, mahu memastikan tidak berlaku penghebahan jumlah undi tidak rasmi pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin berkata SPR lebih terdesak untuk menangani tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) daripada larangan yang disifatkannya sebagai mengarut.

"Larangan SPR yang tidak membenarkan penggunaan telefon bimbit di pusat-pusat mengundi adalah satu larangan yang cukup remeh, SPR harus menumpukan kepada isu-isu besar," kata Tze Tzin.

Selain cadangan larangan membawa telefon bimbit, SPR turut menyenaraikan cadangan mewajibkan deklarasi bersumpah untuk tidak membuat apa- apa hebahan ataupun semua undi dikira lewat walaupun pusat mengundi ditutup awal.

Kesemua 3 cadangan itu disenarai pendekkan SPR kononnya untuk mengelakkan sebarang keputusan tidak rasmi pilihan raya dihebahkan seperti mana yang berlaku pada pilihan raya negeri Sarawak 16 April lalu.

Tze Tzin menegaskan, SPR sebagai agensi yang berpengalaman harus tahu membezakan tindakan yang memberi keadilan sama rata dalam pilihan raya atau hanya menguntungkan parti politik tertentu sahaja.

"Saya rasa SPR menjadi kuda tunggangan UMNO-BN sebagai satu alat untuk mengekalkan kuasa."

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia agar menyertai perhimpunan Bersih 2.0 yang akan berlangsung 9 Julai depan di Kuala Lumpur bagi bersama- sama menuntut pilihan raya yang adil.

"Jadi kita kena bangkit pada 9 Julai untuk demonstrasi Bersih 2.0, kena turun ke jalan untuk memastikan bahawa SPR sedar sekarang rakyat sudah bangkit marah dengan SPR dan kena lakukan perubahan."

BERSIH sebelum ini mendesak empat perkara termasuk penggunaan dakwat kekal, media yang bebas, pemansuhan undi pos dan pembersihan daftar pemilih.

Bagaimanapun dua lagi tuntutan ditambah iaitu penyalahgunaan institusi kerajaan secara berleluasa, dan menuntut tempoh kempen pilihan raya dipanjangkan.