KUALA LUMPUR 25 MEI: PAS dan gagasan Pakatan Rakyat perlu lebih banyak melakukan transformasi jika benar-benar serius untuk menggantikan UMNO pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Peringatan ini dilontarkan oleh Penganalisis Politik Prof Dr Aziz Bari dalam forum “Melakar Masa Depan Pas" semalam.
Menurut beliau, sikap 'syok sendiri' perlu dihakis terlebih dahulu agar Pakatan Rakyat dapat membawa kecemerlangan dalam membawa perubahan serta mengukuhkan sokongan rakyat terhadap gagasan itu.
“Yang kita nak cari dalam PAS ini bukan tok imam tapi panglima, pejuang, sebab itu PAS jangan syok sendiri.
“PAS nak syok sendiri atau mahu kemukakan alternatif kepada rakyat, kalau PAS masih bincang berapa ramai tok lebai nak diletakkan di atas (barisan tertinggi PAS) buat apa? Kalau macam ini PAS belum layak untuk menggantikan Umno?” katanya.
Dalam pada itu, Aziz Bari turut menegaskan ideologi pimpinan PAS bahawa barisan tertinggi harus dari kalangan golongan ulama perlu dikikis selain bersikap lebih terbuka untuk menerima lebih banyak perubahan dalam parti.
“Dalam PAS ini memang ada yang antiperubahan yang mana mereka nak kekal dengan apa yang ada dan memang ada kumpulan yang gabra dengan perkembangan baru ini.
“Ada yang rasa gelisah bila parti ini buka pintu kepada orang bukan Melayu dan mereka yang gabra ini masih bertanyakan perkara ini,” katanya penganalisis ini yang seringkali memberikan pandangan keras mengenai masa depan PAS.
Muktamar PAS ke-57 akan berlangsung pada 3 hingga 5 Jun di Taman Melewar Kuala Lumpur.
Setakat ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda, Nasrudin Hasan Tantawi berjaya mengekalkan jawatan masing-masing tanpa sebarang tentangan.