Penduduk Hadang Jalan Pertahan Rumah Diroboh






JERAM 25 MEI : Penduduk Jalan Bukit Kerayong hari ini berkumpul menghadang jalan bagi menghalang kerja- kerja pengusiran setelah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari Syarikat Melati Ehsan Development Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang turut berkumpul bersama penduduk berkata penduduk di kampung itu seringkali berdepan dengan ugutan syarikat pemaju yang mahukan mereka mengosongkan kediaman untuk tujuan pembangunan.

"Sebenarnya isu ini telah berlarutan hampir lapan tahun, dimana pihak penduduk Bukit Kerayong dan Papan telah berunding dengan beberapa pihak untuk mendapatkan hak menduduki tanah, ekoran mereka telah menginap disini begitu lama, penduduk di Papan, sekitar 60-70 tahun, dan Bukit kerayong sekitar 40 tahun dari zaman pemerintahan Barisan Nasional lagi," kata Charles.

Charles menegaskan syarikat pemaju tidak boleh berbuat demikian sementelah kes Jalan Bukit Kerayong kini dibicarakan di mahkamah.

Mengulas lanjut situasi ini, Charles menjelaskan pemaju menggunakan helah kononnya mahu membersihkan kawasan tersebut bagi menyimpan barang-barang pembinaan.

"Pihak kami pun tidak kenapa mereka datang mahu robohkan rumah tetapi jelas mereka ada strategi mahu mulakan projek dengan memberi alasan mahu membersihkan kawasan semak, tetapi apa yang dimaksudkan itu adalah untuk memulakan projek merobohkan penempatan penduduk dari kawasan ini hingga ke Papan, ini adlah titik permulaan untuk merobohkan," katanya.

Charles turut mengesa Melati Ehsan sebagai sebuah syarikat besar melaksanakan tanggungjawab sosial dengan tidak menafikan hak penduduk sehingga perbicaraan selesai.

"Melati Ehsan harus mengamalkan tanggungjawab sosial kalau mereka gagal, kerajaan negeri selangor turut terlibat dan hasil perbincangan dengan penduduk bukit kerayong, kalau tetap jalankan kerja-kerja perobohan maka pihak kami akan mengambil injuksi mahkamah untuk berhentikan projek ini dan kita akan panjangkan isu ini, ini juga adalah amaran kepada mereka," katanya.

Sebagai rekod isu kampung Bukit Kerayong ini timbul selepas mantan Menteri Besar Selangor Muhammad Taib dan ADUN Pandamaran ketika itu, Teh Chang Eng mula menjanjikan pembangunan di kampung tersebut.

Namun ia ternyata menjerat penduduk kepada permasalahan yang berlarutan bertahun- tahun lamanya.

Lebih memburukkan keadaan, dua tahun lalu, pemilik tanah itu, Tabung Projek Perumahan Terbengkalai (TPPT) Sdn Bhd menjualkan tanah tersebut kepada Melati Ehsan dengan harga RM32 juta dan Melati Ehsan akan mendapat keuntungan sebanyak RM150 juta daripada projek pembangunan ini.

Perkara ini jelas bercanggah dengan objektif penubuhan TPPT Sdn Bhd iaitu meningkatkan kemampuan rakyat memiliki rumah dengan membekalkan rumah kepada golongan pendapatan rendah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Peneroka Bandar Jalan Papan, Ang Mah Chye, pihaknya kecewa dengan syarikat pemaju yang sanggup mengabaikan kebajikan penduduk semata-mata ingin meraih keuntungan berlipat kali ganda hasil pembinaan projek perumahan kelak.

"Mereka memang untung banyak, tetapi mereka masih enggan berbincang, ini punca masalah, walaupun Melati Ehsan merupakan sebuah syarikat berdaftar di Bursa Saham Malaysia," tambahnya.

Apa yang dikesali, penduduk disini dihalau seperti setinggan walaupun hakikatnya mereka adalah peneroka bandar yang berusaha meneroka hutan menggunakan wang dan tenaga sendiri untuk mendirikan rumah sejak 70 tahun lalu.

Bagi Goh Ah Soon, 57 seorang pemilik bengkel kereta berkata beliau berasa terhina apabila diusir meskipun sudah 57 tahun membesar diperkampungan itu.
"Saya berkerja sendiri, cari makan dengan mengusahakan bengkel, kalau saya diusir macam mana saya mahu berniaga, saya dari kecil membesar ditanah ini sudah 57 tahun disini, dan bengkel ini pun sudah 30 tahun diusahakan," katanya.

Begitu juga dengan Ng Sheng Leong, 29, berkata, beliau menetap dikampung itu bertahun lamanya, sehinggakan bapanya turut disemadikan ditanah perkuburan dikampung tersebut.
"Tanah itu atas nama saya, asalnya milk ayah, sekarang ayanh sudah meninggal dan ditukarkan keatas nama saya, keluarga saya sudah duduk lebih 40 tahun," katanya.

Terdahulu pada 23 Mei lalu, wakil penduduk telah membuat laporan polis di Balai Polis Pandamaran ekoran ancaman pengusiran mereka dari kediaman oleh syarikat pemaju kawasan terbabit.

Laporan polis tersebut dibuat bertujuan untuk meminta perlindungan daripada pihak yang berwajib supaya penduduk tidak diusir.